Sebanyak 20 agensi yang terdiri daripada sektor kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti setempat telah menyertai Pameran Perpaduan Masyarakat yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bagi memperlihatkan peranan kolektif dalam merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Pameran bertemakan 'Perpaduan Menjana Kemajuan' merupakan kolaborasi antara pelbagai pihak mampu memacu pembangunan negara yang harmoni, inklusif dan berdaya tahan. Pelbagai inisiatif dan program dari seluruh lapisan masyarakat yang menyokong perpaduan sosial serta pembangunan negara dalam aspek pendidikan, keusahawanan, teknologi, kesihatan mental dan komuniti.
Antara matlamat pameran berkenaan adalah untuk menyampaikan peranan perpaduan masyarakat dalam merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035 melalui Whole of Nation Approach dan Whole of Government Approach; serta memaparkan sumbangan sektor kerajaan, swasta, dan masyarakat dalam pembangunan negara dan menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama berperanan dalam membina masa depan negara melalui inisiatif masing-masing.
Antara agensi yang menyertai pameran berkenaan ialah YSHHB, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK), Jawatankuasa Takmir Masjid, Jabatan Perdana Menteri melalui Manpower Blueprint dan Social Blueprint, Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Economic Blueprint, Pengawas Kejiranan, Persatuan Warga Emas, Persatuan Gerakan Ibu Tunggal, Persatuan Annur Harapan, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MIB), Koperasi, Poni Group, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) melalui Projek Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Royal Brunei (RB), AM Counselling, GoMamam, Nara Agrofarm, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) melalui Program Keusahawanan, Baiduri Bank melalui Program Keusahawanan, dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) melalui Program Keusahawanan.
Dalam sektor sinergi strategik dan pendorong, YSHHB selaku penganjur utama, mempamerkan sebagai pemangkin dalam membina masyarakat yang bersatu padu, progresif dan berdaya saing.
Di samping itu, Blueprints (Manpower, Social and Economic Blueprints) sebagai pemacu rancangan dasar dan strategik jangka masa panjang yang membentuk ke arah pembangunan negara mencapai Wawasan Brunei 2035.
Manakala, Pejabat Sekretariat MIB pula menekankan peranannya dalam memelihara dan mempromosi nilai-nilai MIB yang merupakan asas kepada perpaduan sosial dan identiti negara ke arah perpaduan masyarakat dalam kalangan belia dan pelajar. Melalui pelbagai program dan inisiatif, Pejabat Sekretariat MIB menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam membina masyarakat yang harmoni, berbudaya, dan sejahtera, serta memperkukuh nilai-nilai kebangsaan yang mendalam dalam kalangan belia dan pelajar.
Manakala sektor pendidikan dan pembinaan kapasiti pula, Persatuan Gerakan Ibu Tunggal memperkasa wanita dan ibu tunggal melalui latihan kemahiran dan sokongan peningkatan kualiti hidup.
Selain itu, Annur Harapan pula menyokong para belia neurodivergen dan membekalkan mereka dengan kemahiran asas hidup dan pekerjaan bagi membantu mereka mencapai kehidupan berdikari serta peluang pekerjaan.
Bagi institusi kewangan seperti BIBD, TAIB dan Bank Baiduri turut mempersembahkan peranan mereka dalam mendidik masyarakat mengenai pengurusan kewangan dan keusahawanan, selaras dengan Wawasan Brunei 2035 untuk mencipta masyarakat yang mampan dan berdaya tahan. Pada masa yang sama, akan memaparkan beberapa program keusahawanan dan aktiviti amal bagi syarikat masing-masing.
Sementara, Poni Group mengetengahkan usaha mereka dalam pemuliharaan alam marin dan ekopelancongan, memberikan peluang kepada golongan belia tanpa mengira jantina, untuk berlatih dalam industri maritim.
Manakala, AM Counselling pula memastikan sokongan kesihatan mental dan bimbingan emosi adalah tersedia bagi golongan 'at-risk' dalam masyarakat melalui sesi kaunseling, bengkel kesedaran dan program pembangunan diri.
Dalam sektor ekonomi dan keusahawanan, projek BEDB memperkenalkan peranan mereka dalam memacu pembangunan ekonomi melalui pelaburan dan inovasi, yang sejajar dengan matlamat menjadikan Brunei sebuah ekonomi yang dinamik dan mampan.
GoMamam pula mempamerkan sumbangan mereka dalam memajukan ekonomi digital dan sektor penghantaran tempatan, yang menyokong pertumbuhan perniagaan kecil serta membantu merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk memperkukuh sektor ekonomi tempatan. Pada masa ini, GoMamam telah mencapai 900 vendor dan 2,500 dispatcher di seluruh negara. GoMamam bukan sahaja satu perkhidmatan penghantaran biasa, tetapi juga salah satu Transformasi Digital bagi NBD.
Sementara, Nara Agrofarm pula menampilkan kejayaan dan kecemerlangan dengan memanfaatkan sumber tempatan dan memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam sektor pertanian. Kejayaan berkenaan mencerminkan komitmen mereka dalam memperkukuh ekonomi tempatan walau apa pun cabaran.
RB pula setelah mencapai 50 tahun mempamerkan peranan mereka bukan sahaja dalam mengembangkan sektor pelancongan, iaitu 'Bridging Brunei To The World', tetapi juga impak mereka kepada membantu masyarakat, iaitu 'RB for the Community' melalui inisiatif-inisiatif seperti program Community Social Responsibility (CSR) dan 'Ikhlas From The Heart'.
Manakala, koperasi mempamerkan kejayaan serta inisiatif-inisiatif bagi memudahkan ahli-ahli untuk membuka perniagaan dan saham, selaras dengan matlamat untuk meningkatkan daya saing ekonomi melalui usaha kolektif yang berdaya tahan.
Bagi kesejahteraan sosial pula, agensi akar umbi seperti Pengawas Kejiranan Kampung, memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, seterusnya menyokong perpaduan sosial yang amat diperlukan untuk mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Sementara Jawatankuasa Takmir Masjid pula memperkukuh nilai-nilai keagamaan dan sosial dalam masyarakat melalui pelbagai program pendidikan dan kebajikan, sesuai dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang seimbang dan harmoni. Mereka memainkan peranan dalam memastikan masjid berfungsi secara holistik. Tidak hanya menjadi tempat ibadat, tetapi juga tempat pembangunan, ilmu, sosial dan kemasyarakatan.
Manakala, MPMK memberi perhatian kepada peranan mereka sebagai wakil komuniti tempatan di peringkat akar umbi yang memahami keperluan dan aspirasi penduduk setempat. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan ruang serta memberikan peluang kepada rakyat untuk terlibat sama dalam proses pembangunan di peringkat mukim dan kampung melalui budaya dan semangat bekerjasama, saling bantu-membantu di antara Ahli-ahli MPMK.
Sementara, Persatuan Wargamas memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesejahteraan sosial golongan orang kurang upaya, warga emas, belia, rakan keseliaan dan program rehabilitasi melalui pelbagai program sokongan, aktiviti sosial dan keagamaan. Persatuan berkenaan adalah untuk membangun dan memajukan warga emas sejajar dengan merealisasikan Baldatun Tayyibatun Warrabun Ghafur.
Pameran berkenaan juga menyediakan platform untuk dialog, perkongsian pengalaman, dan aktiviti-aktiviti yang menggalakkan keterlibatan aktif masyarakat dalam merealisasikan aspirasi, iaitu untuk mencapai kejayaan sebagai masyarakat yang bersepadu dan berdaya tahan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto