Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran kepada 266 penerima
01/08/2022

‚Äčhm_010822.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada 266 orang penerima sempena Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-76, Tahun 2022. 

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. 

Pengurniaan bintang-bintang tersebut berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman. 

Kebawah DYMM mula-mula berkenan mengurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Ketiga (S.N.B) kepada seorang penerima iaitu Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad. 

Diikuti dengan pengurniaan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B) kepada seramai 50 orang penerima dari sektor kerajaan dan sektor swasta. 

Sementara itu, seramai enam orang penerima dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Keempat (S.U.B). 

Baginda seterusnya berkenan mengurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) kepada seramai 187 orang penerima, dikuti dengan pengurniaan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kelima (P.U.B) kepada seramai 22 orang penerima. 

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Majlis turut dihadiri oleh Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat; Timbalan-timbalan Menteri; Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi; Duta-duta Besar; Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan ketua-ketua jabatan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Manage PermissionsManage Permissions