Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
Berangkat menghadiri Program Pemimpin-pemimpin Muda Ke-8
02/08/2022

‚Äčdpmm_020822.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman hari ini berangkat ke Republik Singapura bagi menghadiri Program Pemimpin-pemimpin Muda Ke-8 yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Ogos 2022. 

Berangkat sama, anakanda  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah,  Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah. 

Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar. 

Berangkat dan hadir ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat ke hadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Menteri-menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Setiausaha-setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan serta pasangan masing-masing. 

Manakala, keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri di Kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Republik Singapura dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan dan Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Mohamad Maliki Osman, selaku Menteri Pengiring dan Puan Saadiah Shahal selaku Lady-in-Attendance. 

Turut sama menjunjung keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Sidek bin Ali dan isteri; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow. 

Program Pemimpin-pemimpin Muda Ke-8 tersebut akan memfokuskan kepada tiga bidang utama, iaitu perkhidmatan awam, pendidikan dan pertahanan. 

Program termasuk beberapa siri lawatan ke sekolah-sekolah, Integrated Public Service Centre dan Pangkalan Tentera Laut Changi. 

Selain itu, Duli Yang Teramat Mulia juga akan mengadakan kunjungan hormat kepada Puan Yang Terutama Presiden Republik Singapura serta Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik Singapura secara berasingan. 

Program Pemimpin-pemimpin Muda merupakan program pertukaran tahunan antara NBD dan Republik Singapura bagi meningkatkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin serta bagi para pemimpin pada masa akan datang bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala, serantau dan pembangunan global. 

Dihoskan secara bergilir-gilir antara kedua-dua buah negara, kali terakhir program diadakan ialah pada tahun 2019 di NBD.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Manage PermissionsManage Permissions