Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
IPSC jadi tumpuan lawatan DYTM
03/08/2022

‚Äčdpmm_030822.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Integrated Public Service Centre (IPSC) yang bertempat di Our Tampines Hub (OTH), Republik Singapura, hari ini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di OTH dijunjung oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudiannya disembahkan taklimat mengenai OTH dan Public Service Division, diikuti dengan lawatan ke Eco Community Gardens serta menyaksikan kemudahan-kemudahan yang terdapat di IPSC.

IPSC merupakan sebuah pusat sehenti yang menyediakan Perkhidmatan Awam kerajaan yang mustahak kepada masyarakat di kawasan Tampines dan sekitarnya seperti pembayaran bil, permohonan pekerjaan dan bantuan kewangan serta perumahan.

Selain itu, IPSC juga mempromosikan perkhidmatan digital seperti kiosk layan diri, konsultasi video serta permohonan meminjam buku dan fasiliti sukan.

Pusat ini bertujuan untuk memudahkan mereka yang perlu berurusan daripada satu agensi ke satu agensi yang lain.

Sementara itu, OTH adalah sebuah hab komuniti dan gaya hidup bersepadu pertama dan terbesar di Singapura, yang menggunakan inisiatif negara pintar dalam memberikan khidmat kepada masyarakat berkenaan dengan cekap dan berkesan serta sistem pengurusan komprehensif yang melindungi alam sekitar.

Terdapat beberapa kemudahan di hab itu seperti kemudahan sukan, perpustakaan serantau, pusat kesenian dan premis perniagaan sekali gus menjadikan hab ini sebagai sebuah pusat yang berpaksikan masyarakat.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Manage PermissionsManage Permissions