Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
Berangkat balik meninggalkan Singapura
06/08/2022

‚Äčhm_060822.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, petang tadi berangkat meninggalkan Republik Singapura setelah selesai menghadiri Program Pemimpin-pemimpin Muda Ke-8, yang berlangsung pada 3 hingga 5 Ogos 2022. 

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah. 

Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid. 

Hadir di Kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Changi bagi menyembahkan selamat berangkat ke hadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan dan Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Mohamad Maliki Osman selaku Menteri Pengiring dan Puan Saadiah Shahal selaku Lady-in-Attendance. 

Turut hadir bagi menyembahkan selamat berangkat ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Sidek bin Ali; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow serta isteri masing-masing. 

Program Pemimpin-pemimpin Muda yang dihoskan secara bergilir-gilir oleh Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura merupakan satu platform untuk bertukar-tukar kemahiran dan pengalaman di antara kedua-dua buah negara. 

Semasa program edisi Ke-8, keberangkatan DYTM mengadakan perjumpaan bersama Puan Yang Terutama Presiden dan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri, termasuk beberapa menteri kabinet dari Republik Singapura membuahkan hasil melalui sesi-sesi kongsi maklumat yang menekankan tiga bidang utama, iaitu pendidikan, perkhidmatan awam dan pertahanan. 

Antara perkara yang dipersetujui adalah memperkenalkan biasiswa untuk penuntut-penuntut cemerlang Negara Brunei Darussalam melanjutkan pengajian di peringkat menengah ke pengajian tinggi di Republik berkenaan; mewujudkan program latihan bagi penjawat am Negara Brunei Darussalam melalui penempatan kerja di agensi-agensi Kerajaan Republik Singapura; dan berkongsi ilmu pengetahuan mengenai perkembangan teknologi dan pendekatan Whole of Government (WOG) bagi mengukuhkan keselamatan maritim dan serantau. 

Keberangkatan DYTM dan YTM ke Republik Singapura ini juga mengukuhkan serta mengembangkan lagi hubungan dua hala yang sekian lama terjalin lagi istimewa di antara dua negara sahabat berkenaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Manage PermissionsManage Permissions