Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat ke London, United Kingdom
15/09/2022
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat ke London, United Kingdom bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara bagi Her Majesty Queen Elizabeth II, iaitu seorang Ratu dan juga Bonda kepada His Majesty King Charles III, King of the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland.

Istiadat Pemakaman Negara yang akan berlangsung di Westminster Abbey, London pada 19 September 2022 ini juga dijangka akan dihadiri oleh ahli-ahli Kerabat Diraja dan Ketua-ketua Negara daripada seluruh dunia.

Her Majesty Queen Elizabeth II yang berusia 96 tahun, mangkat pada hari Khamis, 8 September 2022, jam 6.30 petang (British Summer Time – BST) di Balmoral Castle, Scotland. Baginda merupakan pemerintah British yang paling lama memerintah dalam sejarah iaitu menjangkau selama 70 tahun dan 214 hari, bermula daripada 6 Februari 1952 sehingga 8 September 2022. Kemangkatan Baginda merupakan satu kehilangan yang amat mendalam kepada masyarakat antarabangsa amnya termasuk yang berada di Negara Brunei Darussalam, yang mana pada sepanjang pemerintahan, Baginda dikenali sebagai seorang pemimpin berwibawa dan unggul dari segi budi pekerti, berhemah dan berpengetahuan tinggi.

Keakraban hubungan istimewa antara Kerabat Diraja Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom sudah sekian lama terjalin sejak berkurun lamanya, yang juga merupakan satu sejarah besar yang penting di mana kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas terutamanya dalam pelbagai bidang seperti pertahanan, pendidikan, perdagangan dan pelaburan. Hubungan akrab ini akan terus dijadikan ristaan sejarah sebagai pemangkin dalam mencapai kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Ini dapat dilihat melalui beberapa siri keberangkatan yang lalu seperti Keberangkatan Negara Her Majesty Queen Elizabeth II ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 1972 dan 1998; dan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengadakan perjumpaan bersama Her Majesty di Buckingham Palace pada 14 Disember 2017 serta menghadiri Majlis Her Majesty the Queen’s Dinner bagi meraikan Ketua-Ketua Kerajaan yang menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di London pada 19 April 2018.

Siaran Akhbar: Jabatan Perdana Menteri

Manage PermissionsManage Permissions