Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
Bersama memajukan usaha pembangunan sektor tenaga ASEAN
15/09/2022
pmo_150922.jpg

Usaha kolektif berterusan ASEAN dalam memajukan sektor tenaga adalah penting, termasuk inisiatif-inisiatif yang diterajui oleh Negara Brunei Darussalam semasa menjadi pengerusi bagi Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-39 pada tahun 2021. 

Salah satu pencapaian utama tersebut adalah pengesahan Deklarasi Bersama Bandar Seri Begawan Menteri-menteri ASEAN bagi Mesyuarat Tenaga mengenai Keselamatan Tenaga dan Peralihan Tenaga. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof menjelaskan perkara itu semasa menyampaikan ucapan selaku Outgoing Chair pada AMEM ke-40 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang berlangsung secara dalam talian. 

Menurut Yang Berhormat, deklarasi berkenaan menekankan pentingnya untuk memastikan jaminan tenaga dan mempercepat peralihan tenaga, serta pentingnya kerjasama sektoral untuk sama-sama memajukan usaha pembangunan Komuniti ASEAN, khususnya Komuniti Ekonomi ASEAN. 

Mesyuarat yang telah diadakan bermula 13 hingga 16 September 2022 tersebut dihadiri Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan Ketua Delegasi dari rakan-rakan dialog serta organisasi-organisasi antarabangsa. 

AMEM ke-40 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, pada 15 September 2022. 

Mesyuarat bertemakan 'Mempercepatkan Peralihan Tenaga : Pemulihan Ekonomi dan Pertumbuhan Mapan' atau 'Accelerating Energy Transition: Economic Recovery and Sustainable Growth' itu dipengerusikan Menteri Perlombongan dan Tenaga Kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Suy Sem. 

Antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut ialah perkembangan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN Fasa Kedua Tahun 2021 - 2025, termasuk bidang-bidang program yang berkaitan iaitu Grid Kuasa ASEAN, Saluran Paip Gas Trans-ASEAN, Teknologi Arang Batu dan Arang Batu Bersih, Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga; Tenaga yang Boleh Diperbaharui, Dasar dan Perancangan Tenaga Serantau; serta Tenaga Nuklear. 

Aktiviti-aktiviti berkenaan dihasrat akan menyumbang kepada merealisasikan matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Visi ASEAN 2025. 

Acara sampingan AMEM Ke-40 juga menyaksikan acara pelancaran bagi dua dokumen yang telah diterbitkan iaitu 7th ASEAN Energy Outlook (AEO7); dan 2nd ASEAN Renewable Energy Outlook. 

Turut diadakan, pengesahan tiga Kenyataan Bersama iaitu Kenyataan Bersama Menteri bagi Menteri-menteri ASEAN mengenai Mesyuarat Tenaga Ke-40, Kenyataan Bersama Menteri bagi Menteri-menteri ASEAN mengenai Menteri Tenaga +3 ke-19; dan Kenyataan Bersama Menteri bagi Mesyuarat Kemuncak Menteri-menteri Tenaga Asia Timur ke-16. 

Mesyuarat-mesyuarat berkaitan AMEM Ke-40 yang berlangsung pada 15 dan 16 September 2022 adalah Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN +3 Ke-19, Mesyuarat Kemuncak Asia Timur Menteri-menteri Tenaga ASEAN Ke-16; Sesi Dialog di antara Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) Ke-6; juga Sesi Dialog di antara Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Ke-8. 

Selain itu, acara sampingan termasuk Forum Tenaga Asia Timur Ke-5 dan Forum Peniagaan Tenaga ASEAN 2022.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

‚Äč

Manage PermissionsManage Permissions