Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
AMMTC: Kukuhkan kerjasama tangani jenayah rentas sempadan
21/09/2022

‚Äčpmo_210922.jpg

Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku 'lead agency' yang bertanggungjawab terhadap pelbagai dasar keselamatan negara akan terus menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government dalam menangani pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan yang berpotensi untuk menggugat keselamatan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam (NBD). 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara semasa menghadiri Sidang Plenari Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) kali ke-16 yang telah berlangsung secara maya, pagi tadi. 

Yang Berhormat juga mengetengahkan pelbagai usaha NBD di dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan semasa musim pandemik COVID-19 seperti penyeludupan barang-barang tegahan termasuk dadah haram melalui sempadan darat dan kawasan perairan negara. 

Sehubungan dengan itu, negara juga telah mencatatkan pencapaian signifikan dalam menangani isu jenayah pemerdagangan orang atau Trafficking in Persons dengan tercatatnya pendakwaan bagi dua kes pemerdagangan orang pada tahun 2022. 

Yang Berhormat seterusnya menekankan, adalah penting bagi AMMTC untuk mengukuhkan lagi tahap kerjasama dengan badan-badan sektoral ASEAN dan negara-negara rakan dialog ASEAN bagi membantu pelbagai usaha pemulihan dalam era pasca COVID-19, selaras dengan aspirasi di dalam Bandar Seri Begawan Declaration on Combatting Transnational Crime Post COVID-19 Pandemic yang telah diluluskan semasa Mesyuarat AMMTC kali ke-15 yang dipengerusikan oleh NBD pada bulan September tahun lalu. 

Mesyuarat AMMTC kali ke-16 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Minister of the Interior, Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Kralahom Sar Kheng, dan dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi isu jenayah rentas sempadan. 

Mesyuarat turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Political-Security Community, Tuan Yang Terutama Robert Matheus Michael Tene, dan Tuan Yang Terutama telah memberikan laporan mengenai perkembangan terkini ASEAN, termasuk pelbagai aktiviti yang berlangsung di badan-badan sektoral ASEAN yang lain. 

Semasa sidang plenari yang berlangsung pagi tadi, menteri-menteri dan ketua-ketua delegasi ASEAN telah meluluskan Terms of Reference of the National Representatives for the implementation of the ASEAN Convention Against Trafficking In Persons, Especially Women and Children (ACTIP). 

Terma rujukan tersebut merupakan satu manifestasi komitmen negara-negara ASEAN untuk menangani isu jenayah pemerdagangan orang di rantau ini, sejajar dengan matlamat di bawah ASEAN Convention Against Trafficking In Persons, Especially Women and Children yang telah diratifikasi oleh NBD pada tahun 2020. 

Dalam hubungan ini, mesyuarat juga telah mengambil maklum mengenai ASEAN Senior Officials Meeting on Transnational Crime Work Programme to Implement the ASEAN Plan of Action to Combat Transnational Crime 2022-2024 yang telah diluluskan di peringkat Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC). 

Mesyuarat pada hari ini juga telah membincangkan status pelaksanaan pelbagai aktiviti di bawah SOMTC, Mesyuarat Ketua-ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Ketua-ketua Bahagian Hal Ehwal Konsular Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (DGICM) dan Persidangan Ketua Polis Negara-negara ASEAN (ASEANAPOL). 

Delegasi NBD ke Mesyuarat AMMTC kali ke-16 telah disertai oleh Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara; Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang), JPM, Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib, dan para pegawai kanan dari JPM. 

Mesyuarat AMMTC kali ke-16 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan berlangsung selama tiga hari dari 20 hingga 22 September 2022, bermula dengan mesyuarat-mesyuarat persediaan Preparatory SOMTC yang telah diadakan kelmarin. 

Mesyuarat akan diteruskan lagi esok dengan sesi konsultasi bersama rakan-rakan dialog AMMTC, iaitu negara-negara +3, Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea. 

Mesyuarat AMMTC yang seterusnya akan diadakan pada tahun 2023 di Republik Indonesia.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Manage PermissionsManage Permissions