Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
243 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen KUPU SB
01/10/2022


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan berangkat mengurniakan ijazah dan diploma kepada para graduan pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-12, 1444 Hijrah / 2022 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dan Pemangku Pendaftar KUPU SB, Awang Adi Rani Soffian bin Abdul Rahman.

Majlis Konvokesyen dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, diikuti dengan bacaan Asma al-Husna beramai-ramai.

Perarakan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam didahului dengan pengusungan Mushaf Al-Quran yang dibawa masuk oleh Penolong Pendaftar KUPU SB, Awang Khairul Shaffarani bin Haji Hamidon ke dalam dewan.

Majlis diteruskan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, 'Allah Peliharakan Sultan', diikuti dengan bacaan Surah Al-Hajj, ayat 77 hingga 78 dan Surah Al-'Alaq, ayat 1 hingga 5 beramai-ramai oleh para graduan Konvokesyen KUPU SB Ke-12, 1444 Hijrah / 2022 Masihi.

Dalam inti sari ayat yang dibacakan menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala menyeru orang yang beriman agar sentiasa melazimkan rukuk, sujud, menyembah dan melakukan kebaikan (islah) agar mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

Oleh yang demikian, maka KUPU SB menjadikannya panduan dalam melahirkan graduan yang taat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, melakukan 'islah' dalam kebaikan demi meraih kejayaan dunia dan akhirat.

Majlis kemudian disusuli dengan sembah alu-aluan oleh Ra'es KUPU SB. Bagi mengakhiri sembah alu-aluan berkenaan, Ra'es KUPU SB seterusnya melaungkan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' yang kemudiannya turut dilaungkan oleh para graduan yang diraikan.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah, seterusnya berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada 243 graduan.

Daripada jumlah tersebut, dua graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama Pendidikan Islam dan tiga graduan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama Pendidikan Islam serta dua graduan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama (bidang Syariah).

Seterusnya, 41 graduan dianugerahkan Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, sembilan graduan dalam Program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (pengajaran bahasa Arab bagi penutur bukan Arab) dan dua graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah.

Sementara itu, empat graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Bimbingan dan Kaunseling, dua graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Da'wah dan Kepimpinan manakala tiga graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama pendidikan Islam dengan Minor Fiqh Ahwal Syakhsiah.

Selain itu, lapan graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama pendidikan Islam dengan Minor Inovasi dan Teknologi Pendidikan Islam, dua graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor keusahawanan dalam pendidikan Islam dan lima graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor kewangan Islam serta 15 graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Majlis Konvokesyen tersebut juga meraikan 10 graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Pendidikan Keluarga Islam dan 10 graduan dalam program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Pendidikan Khas.

Manakala, empat graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Pendidikan Melayu Islam Beraja, 10 graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Pendidikan Sains Kesihatan, empat graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Pendidikan Seni Islam dan seorang graduan dalam Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Pendidikan Islam dengan Minor Usul Fiqh.

Seterusnya, 76 graduan dalam Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Pendidikan Islam, tujuh graduan dalam program Diploma Pengajian Fiqh Usrah, lima graduan dalam program Diploma Pengajian Kemahiran Jawi dan Kaligrafi serta 13 graduan dalam Program Diploma Pengajian Kitab Turath dan lima graduan dalam Program Diploma Pengajian Seni Al-Quran.

Bagi memberkati majlis, Doa selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Perguruan Ugama di Negara Brunei Darusalam, KUPU SB bertanggungjawab melahirkan pendidik dan pemimpin bertakwa, berwibawa, berakhlak mulia, berdaya saing, berpengetahuan, berfikiran terbuka, berkemahiran tinggi dan komited.

Oleh itu, setiap pelajar yang akan menjadi pendidik dipastikan untuk mendapatkan seluruh ilmu, adab dan kemahiran yang diwajibkan bagi memenuhi keperluan abad ini dan sentiasa bersedia dengan segala perubahan dengan sentiasa memegang kukuh ajaran Islam iaitu berpandukan Ahli Sunnah Waljamaah dan menjaga Falsafah Negara, Melayu Islam Beraja.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto