Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
DPMM FC berpesta gol
02/10/2022

‚Äč


DPMM FC berjaya mara ke pusingan seterusnya apabila meneruskan rekod kemenangan selepas membenam Jerudong FC, 15 - 0 pada perlawanan Piala FA Brunei 2022 yang berlangsung di Mini Stadium, Jerudong, malam tadi.

Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.

Berangkat sama ialah adinda dan anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan  Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim serta kerabat diraja yang lain.

Jaringan pertama DPMM FC telah dihasilkan seawal minit ke-7 menerusi penyerang pasukan tersebut, Muhammad Shahrazen Said.

Muhammad Azwan Ali Rahman kemudian menambah gol DPMM FC pada minit ke-33 menjadikan kedudukan 2 - 0.

Azwan Mohammad Saleh dan Muhammad Shahrazen Said seterusnya masing-masing menambah satu gol untuk menjadikan kedudukan 4 - 0 sebelum separuh masa pertama tamat.

Pada separuh masa kedua pula, gol kelima DPMM FC seterusnya dijaringkan oleh Muhammad Hanif @ Abdul Hadi Hamir pada minit ke-47 dan dalam masa yang singkat juga, iaitu selang tiga minit kemudian, Muhammad Shahrazen Said dengan bergaya melakar hatrik pada minit ke-50 menjadikan kedudukan 6 - 0.

Muhammad Hakeme Yazid Said kemudian tampil pada minit ke-52 dengan membolosi gawang gol pasukan lawan, diikuti dengan Muhammad Shahrazen Said pada minit ke-59 menjaringkan gol keempatnya.

Kedudukan 8 - 0 tidak bertahan lama apabila Muhammad Shahrazen Said beraksi dengan cemerlang dan sekali lagi menjaringkan gol kelimanya di minit ke-60 perlawanan menjadikan kedudukan 9 - 0.

Muhammad Hakeme Yazid Said muncul lagi pada minit ke-63 setelah berjaya membuat jaringan keduanya, seterusnya juga melakar hatrik pada minit ke-67 apabila tendangannya membolosi gawang pasukan lawan dan kemudian berjaya menjaringkan gol keempatnya selang seminit kemudian, iaitu pada minit ke-68 sekali gus menjadikan kedudukan 12 - 0.

Abdul Azizi Ali Rahman juga tidak ketinggalan untuk menjaringkan gol ke-13 bagi DPMM FC pada minit ke-78, Azwan Mohammad Saleh pada minit ke-79 dan gol penutup dijaringkan oleh Mohd Najib Haji Tarif, iaitu pada minit ke-87.

Kedudukan berkesudahan dengan kiraan 15 - 0 yang kemenangan berpihak kepada DPMM FC.

Sementara itu pada perlawanan berasingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas, Panchor Murai FC telah berjaya menewaskan Hawa FC, 3 - 1.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto