Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
DPMM FC tewaskan Kota Ranger FC
19/11/2022
dpmm_191122.jpg 

DPMM FC menang tipis ke atas Kota Ranger FC dengan keputusan 1 - 0, pada perlawanan pertama, separuh akhir Piala FA Brunei 2022, yang berlangsung di Jerudong Park Mini Stadium, di sini. 

Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman. 

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. 

Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman. 

Pada perlawanan tersebut, Muhammad Hakeme Yazid Said muncul wira setelah menjaringkan gol tunggal dan kemenangan bagi DPMM FC. 

Separuh masa pertama menyaksikan DPMM FC dengan bijak mengawal permainan dan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-22 menerusi Muhammad Hakeme Yazid Said. 

Permainan defensif dari Kota Ranger FC pada malam tersebut mengekalkan keputusan 1 - 0 hingga pengadil meniupkan wisel penamat bagi separuh masa pertama. 

Babak kedua perlawanan menyaksikan DPMM FC masih lagi dengan selesa mengawal permainan, namun terpaksa akur dengan keputusan pengadil apabila bermain dengan 10 orang setelah Muhammad Azwan Ali Rahman ditayangkan kad merah, pada minit ke-71 apabila melakukan kekasaran kepada pemain penyerang Kota Ranger FC. 

Kota Ranger FC nampak lebih bersemangat dengan kelebihan tersebut apabila melakukan serangan demi serangan, namun gagal untuk memanfaatkan peluang keemasan dan mencipta sebarang gol hingga ke wisel penamat perlawanan berkenaan. 

Perlawanan kedua bagi separuh akhir Piala FA Brunei 2022 akan berlangsung pada 27 November 2022, di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

‚Äč