Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
Berangkat tinggalkan Bangkok, Thailand
19/11/2022
hm_191122.jpg 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat meninggalkan Bangkok, Thailand selepas menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC 2022 (AELM). 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Berada di Terminal Udara Don Mueang bagi menyembahkan selamat berangkat ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Timbalan Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Prawit Wongsuwan. 

Turut hadir bagi menyembahkan selamat berangkat ke hadapan majlis Kebawah DYMM ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Thailand, Tuan Yang Terutama Pengiran Haji Sahari bin Pengiran Haji Salleh. 

Semasa menghadiri Mesyuarat AELM, Kebawah DYMM telah berangkat menghadiri Sesi Retreat I (Pertama) dan Retreat II (Kedua) Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC 2022; APEC Leaders' Informal Dialogue with Guests; mengadakan Perjumpaan Dua Hala bersama His Royal Highness Putera Mahkota and Perdana Menteri Kerajaan Arab Saudi; dan Mesyuarat Dua Hala bersama Tuan Yang Terutama Presiden Republik Rakyat China; serta berangkat ke Majlis Santap Malam Gala sempena mengalu-alukan kehadiran para Ketua Ekonomi APEC ke Mesyuarat AELM Ke-29. 

Baginda juga berkenan berangkat ke Majlis Royal Audience bersama Their Majesties the King of the Kingdom of Thailand dan Queen, di Chakri Maha Prasat Throne Hall, Bangkok, semalam. 

Semasa APEC Economic Leaders' Meeting pada kali ini, Ketua-ketua Ekonomi APEC mengeluarkan dua dokumen, iaitu pertama, Deklarasi Pemimpin Ekonomi APEC yang mengetengahkan kerja-kerja APEC sepanjang tahun 2022 semasa Thailand menjadi Pengerusi APEC, yang merangkumi usaha memajukan Free Trade Area of the Asia-Pacific (FTAAP), laluan selamat, pemerkasaan perekonomian wanita; dan kedayatahanan melalui model Ekonomi Bio-CircularGreen (B.C.G); dan kedua, the Bangkok Goals on Bio-Circular-Green Economy, bertujuan untuk mengesahkan komitmen Pemimpin APEC, dalam meneruskan objektif kemampanannya secara responsif dan komprehensif untuk menangani peningkatan cabaran ekonomi serta alam sekitar yang dihadapi rantau ini, di samping memperkukuh dan menyumbang pada tindakan global yang sedang berjalan. 

Amerika Syarikat akan menjadi Pengerusi APEC pada tahun 2023, dengan tema 'Creating a Resilient and Sustainable Future for All'.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

‚Äč