Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
Seru APEC teruskan semangat multilateralisme
19/11/2022
hm_1911221.jpg 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat untuk menghadiri Sesi Retreat II (Kedua) Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC 2022 yang berlangsung di Queen Sirikit National Convention Center (QSNCC), Bangkok, Thailand.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama dengan Ketua-ketua Ekonomi seterusnya menghadiri Sesi Retreat II (Kedua) yang membawa tema 'Sustainable Trade and Investment'. Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Thailand.

Semasa Retreat II (Sesi 2), Kebawah DYMM dan para Pemimpin APEC yang lain membincangkan kerjasama dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama dan juga mendengarkan penerangan daripada Pengarah Urusan International Monetary Fund mengenai Global Economic Outlook.

Baginda bertitah mengambil maklum mengenai hasil positif dari Persidangan Menteri-menteri Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) Ke-12 yang mencerminkan komitmen negara-negara ahli dalam memastikan perdagangan global kekal tanpa sebarang kekangan.

Baginda juga menyeru agar APEC meneruskan semangat multilateralisme dan melibatkan semua pihak berkepentingan untuk memastikan peranannya sebagai inkubator akan terus menyumbang kepada usaha-usaha WTO.

Baginda kemudiannya menekankan kepentingan dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi; mengukuhkan perdagangan dan pelaburan dengan menggunakan pendekatan holistik dan bersepadu dalam era pasca-pandemik, khususnya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Seterusnya baginda menekankan kepentingan dalam membantu PMKS supaya bersedia menghadapi masa hadapan dengan meluaskan asas pengetahuan agar lebih berdaya tahan dengan keadaan semasa; membentuk dasar persekitaran yang relevan dan boleh diramal untuk menarik para pelabur dan usahawan; dalam mengintegrasikan PMKS ke dalam rantaian serantau dan bekalan; dan dalam melengkapkan PMKS dengan kemahiran digital.

Dalam mengakhiri titah, Kebawah DYMM memberikan sokongan kepada Amerika Syarikat yang akan menjadi Pengerusi APEC bagi Tahun 2023, yang akan membawa tema 'Creating a Resilient and Sustainable Future for All'.

Semasa APEC Economic Leaders' Meeting pada kali ini, Ketua-ketua Ekonomi APEC telah mengeluarkan dua dokumen, iaitu (1) Deklarasi Pemimpin Ekonomi APEC yang mengetengahkan kerja-kerja APEC sepanjang tahun 2022 semasa Thailand menjadi Pengerusi APEC, yang merangkumi usaha memajukan Free Trade Area of the Asia-Pacific (FTAAP), laluan selamat, pemerkasaan perekonomian wanita; dan kedayatahanan melalui model Ekonomi Bio-Circular-Green (BCG); dan (2) Bangkok Goals on BCG Economy yang bertujuan untuk mengesahkan komitmen Pemimpin APEC dalam meneruskan objektif kemampanannya secara responsif dan komprehensif untuk menangani peningkatan cabaran ekonomi dan alam sekitar yang dihadapi rantau ini, di samping memperkukuh dan menyumbang kepada tindakan global yang sedang berjalan.

APEC ialah salah satu platform yang penting dalam menggalakkan dialog, pertukaran pandangan dan amalan terbaik mengenai inisiatif dan dasar yang menyumbang kepada iklim ekonomi yang lebih kondusif. Sebagai inkubator idea, APEC juga membina kerjasama ekonomi dan teknikal serta program pembangunan kapasiti dalam pelbagai bidang. Keahlian Brunei Darussalam dalam APEC telah membolehkan penyertaan dalam dialog dasar dan penglibatan pembangunan kapasiti tersebut yang boleh menyumbang ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

‚Äč