Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Mempromosikan kemakmuran ekonomi ASEAN, UAE


Selepas mengadakan Majlis Perjumpaan bersama dengan His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Vice President and Prime Minister of the United Arab Emirates, and Ruler of Dubai, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke DP World Arena bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2022, di sini.

Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Semasa Sidang Kemuncak tersebut, baginda berkenan mengurniakan titah ucaptama di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengiktiraf pencapaian Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam mentransformasi ekonominya serta menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan UAE dalam menganjurkan Expo 2020 Dubai.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menggariskan cabaran-cabaran seperti isu-isu politik, ekonomi dan sosio yang kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini termasuk kesan pandemik COVID-19 yang tidak pernah berlaku sebelum ini serta mengganggu ketenteraman. Walau bagaimanapun, rakyat dan kerajaan telah menyesuaikan diri dengan cepat dan memberikan tindak balas terhadap cabaran-cabaran sedemikian.

Menyentuh mengenai kepentingan untuk membentuk kerajaan masa hadapan, Kebawah DYMM menggariskan bahawa Revolusi Industri Keempat akan membawa kepada perubahan dalam membentuk dan peranan kerajaan, ekonomi dan infrastruktur.

Oleh itu, titah baginda, UAE sedang menerajui kerajaan-kerajaan masa hadapan seperti merintis beberapa bidang seperti tenaga yang boleh diperbaharui dan mengetengahkan peranan belia sebagai pemimpin masa hadapan yang akan mewarisi serta melaksanakan dasar-dasar permulaan yang dirangka pada masa ini.

Di samping itu, baginda juga menekankan penyertaan aktif wanita sebagai pemimpin dalam mempertingkatkan lagi kualiti penggubalan dasar untuk masa hadapan yang lebih baik secara keseluruhan.

Baginda seterusnya bertitah menyeru ASEAN dan UAE untuk bekerjasama dalam mempromosikan kemakmuran ekonomi bagi rakyatnya dan seterusnya menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan UAE khususnya dalam menguruskan perubahan iklim.

Mengenai keamanan dan kestabilan, Kebawah DYMM menekankan bahawa ia adalah penting bagi meneruskan kemajuan ekonomi untuk menjamin masa hadapan generasi akan datang ke arah yang lebih cerah.

Sambil mengungkap petikan sabda daripada Pengasas UAE, His Highness Almarhum Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan, iaitu "Sejarah adalah rangkaian peristiwa yang berterusan. Masa kini hanyalah lanjutan dari masa lampau," Kebawah DYMM dalam titah menyatakan betapa pentingnya untuk menanamkan penghargaan kepada golongan muda kerana pengalaman dunia mereka jauh berbeza dengan pengalaman sebelum mereka, terutama sekali kepada yang pernah melihat peperangan dan konflik.

Pada penghujung titah, baginda mengulangi kepentingan untuk memastikan kehidupan yang lebih baik bagi rakyat, dunia yang aman damai dan keperluan bagi kerajaan pada masa akan datang untuk bersedia dan responsif.

Di samping itu, Kebawah DYMM juga menekankan keperluan untuk terus melibatkan golongan belia kerana mereka inilah yang akan merealisasikan rancangan untuk generasi akan datang.

Selesai Sidang Kemuncak tersebut, Kebawah DYMM seterusnya berkenan berangkat melawat Pavilion UAE, di mana baginda berkenan mendengarkan sembah taklimat daripada Pengurus Pavilion dan seterusnya melawat koleksi pameran di pavilion berkenaan.

Pavilion negara tuan rumah di Expo 2020 Dubai yang membawa tema 'Land of Dreamers Who Do' ini, antara lainnya mengetengahkan kisah warga pelaku perubahan yang menjiwai semangat UAE dan meneruskan legasi yang ditempa oleh pemimpin asal UAE, His Highness Almarhum Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan, Pengasas UAE.

Kebawah DYMM seterusnya berangkat ke Opportunity District bagi melawat Pavilion Negara Brunei Darussalam, yang mengetengahkan Wawasan Brunei 2035, Bank Islam Brunei Darussalam, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dan juga mempamerkan barangan daripada 22 pengusaha tempatan Mikro, Kecil dan Sederhana.

Semasa di pavilion ini, baginda mendengarkan sembah penerangan daripada Pengurus Pavilion, Dayang Fadzilah binti Abdul Rahman.

Di bawah tema 'Brunei Darussalam 2035 - Bridging to the Future', Pavilion Negara Brunei Darussalam bagi Expo 2020 Dubai memberi peluang untuk perusahaan- perusahaan, institusi-institusi dan syarikat-syarikat tempatan dalam mempromosi dan memasarkan produk serta perkhidmatan masing-masing di pasaran antarabangsa.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments