Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Ketabahan, kesabaran Rasulullah menegakkan Islam
02/08/2022

jpm_020822.jpg

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun 1444 Hijrah, hari ini yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan JPM. 

Acara berkenaan yang dikendalikan bersama oleh Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pejabat Kesejahteraan, Bahagian Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media, JPM, telah dihadiri oleh Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku tetamu kehormat.

Turut hadir, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan warga JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Acara sambutan berkenaan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, diikuti dengan bacaan hafazan ayat-ayat Al-Quran secara 'murattal' berserta terjemahannya oleh Haji Mohammad Khairul Zaman bin Haji Salleh iaitu pelajar hafazan Braille dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis disusuli dengan Ceramah Khas yang bertajuk 'Sabar dan Tawakal Pemangkin Ummah Bertakwa' yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili.

Antara inti pati ceramah tersebut menyentuh mengenai dengan kejayaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam perjuangan menegakkan Islam hasil daripada ketabahan dan kesabaran baginda sehingga sanggup meninggalkan bumi Mekah untuk berhijrah ke Madinah demi menyebarkan syiar Islam.

Baginda sabar menghadapi pelbagai ujian dan rintangan seperti dimusuhi, dihina dan disakiti di sepanjang perjuangan Baginda.

"Tawakal, di mana perstiwa Hijrah merupakan satu bentuk penyerahan dan kebergantungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam menegakkan syair Islam.

"Natijah dari sabar dan tawakal ini akan melahirkan ummah bertakwa yang dilimpahi suluh kebaikan untuk mencapai kehidupan yang baik di dunia dan tempat yang mulia di akhirat," jelasnya.

Majlis tersebut juga diserikan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai sebanyak tiga kali oleh pegawai dan kakitangan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis berkenaan merupakan acara tahunan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya yang turut bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara kalangan warga JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya. 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto