Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat melawat Sekolah Victoria
03/08/2022

dpmm_0308222.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, pagi ini berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Sekolah Victoria, di Siglap Link, Republik Singapura. 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia di Sekolah Victoria dijunjung oleh Menteri Pendidikan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing. 

DYTM dan YTM kemudiannya disembahkan taklimat oleh Pengetua Sekolah Victoria, Mr. Chow Weisi, yang menerangkan mengenai sejarah penubuhan, pencapaian dan hala tuju sekolah berkenaan. 

Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyerahkan sumbangan beberapa koleksi buku pendidikan kepada wakil penuntut, antara lainnya bertujuan untuk digunakan sebagai bahan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah berkenaan dan sebagai usaha untuk membarigakan latar belakang sejarah kesultanan serta kebudayaan Negara Brunei Darussalam. 

Semasa di sekolah ini, DYTM dan YTM juga berkesempatan menyaksikan kelas pengajaran dan pembelajaran Biologi yang menggunakan kaedah teknologi terkini serta berinteraksi bersama penuntut-penuntut mengenai latihan 'respiration', di makmal sains. Sesi ini mempamerkan bagaimana teknologi boleh menyokong pembelajaran dan mengaitkannya ke situasi sebenar. 

DYTM dan YTM seterusnya melawat Eco Community Garden - yang direka untuk menyediakan peluang bagi pendidikan alam sekitar serta kemudahan-kemudahan asas yang lain, termasuk Asrama Victoria. 

Sekolah Victoria adalah sebuah sekolah menengah kerajaan kedua tertua di Republik Singapura, di mana sekolah ini pada asalnya merupakan kelas Bahasa Inggeris, yang ditubuhkan pada tahun 1876, di Sekolah Cawangan Melayu Kampong Glam. 

Pada tahun 2007, sekolah ini memperkenalkan Pendidikan Jasmani sebagai mata pelajaran di peringkat 'O' dan antara empat buah sekolah di Singapura yang merintis Program Pengajian Serantau oleh Kementerian Pendidikan. 

Pada masa ini, sekolah berkenaan merupakan salah sebuah sekolah terbaik di negara berkenaan, yang terkenal dengan penekanan terhadap kecemerlangan keperibadian dan kepimpinan. 

Lawatan ke Sekolah Victoria ini merupakan atas jemputan pihak Kementerian Pendidikan, Republik Singapura.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto