Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Menghasratkan rantau Asia-Pasifik mampan, inklusif
18/11/2022
hm_1811224.jpg 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat untuk menghadiri Sesi Retreat I Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC 2022 yang berlangsung di Queen Sirikit National Convention Center (QSNCC), Bangkok, Thailand. 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke sesi berkenaan ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di QSNCC dialu-alukan oleh Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Prayut Chan-O-Cha, selaku Pengerusi Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC 2022. 

Kebawah DYMM bersama dengan Ketua-ketua Ekonomi seterusnya menghadiri Sesi Retreat I yang membawa tema 'Balanced, Inclusive and Sustainable Growth'. 

Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Thailand. 

Semasa Sesi Retreat berkenaan, Kebawah DYMM dan para pemimpin APEC yang lain membincangkan pelbagai isu kerjasama dan bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama serta hubungan luar dan hala tuju APEC. 

Semasa sesi berkenaan, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah di mana baginda menyatakan bahawa tema APEC pada tahun ini, 'Open. Connect. Balance.' adalah selaras dengan Putrajaya Vision 2040, dengan Ketua-ketua Ekonomi APEC menghasratkan rantau Asia-Pasifik mencapai pertumbuhan yang kukuh, seimbang, selamat, mampan dan inklusif; ini menunjukkan keazaman APEC dalam pemulihan secara lebih mendalam pasca COVID-19. 

Baginda seterusnya bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) menyokong kepimpinan Thailand dalam pelaksanaan Bangkok Goals on Bio-Circular-Green (BCG) sebagai modal perniagaan ekonomi dalam memajukan lagi objektif kemampanan APEC. 

Kebawah DYMM seterusnya bertitah bahawa kerjasama dalam menyediakan ekosistem yang menggalakkan, pembaharuan pasaran yang bersesuaian dan pemindahan teknologi dalam APEC, serta penyelidikan bersama dalam forum lain, seperti melalui Pusat Perubahan Iklim ASEAN yang akan ditempatkan di NBD, adalah penting. 

Baginda kemudiannya bertitah menekankan bahawa APEC Economic Technical Cooperation (ECOTECH) mesti kekal sebagai tonggak penting dalam APEC sebagai asas untuk membangunkan keupayaan institusi yang lebih kukuh dan mewujudkan laluan kepada pertumbuhan yang mampan dan inklusif serta ke arah menuju United Nations (UN) Sustainable Development Goals dan mencapai pelepasan 'net zero' menjelang 2050. 

Sesi Retreat II dengan tema 'Sustainable Trade and Investment' dijadualkan diadakan esok pagi di tempat yang sama.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto