Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Tanai amanah yang diberikan
19/11/2022
jpm_191122.jpg 

Pandemik COVID-19 yang melanda Negara Brunei Darussalam dan komuniti global memberikan impak yang cukup besar pada setiap sektor di negara ini, termasuklah kepada kita semua selaku warga Perkhidmatan Awam. 

Cabaran yang kita hadapi ini mendesak kita untuk melaksanakan penambahbaikan serta pembaharuan dengan cepat kepada memastikan kelangsungan pemberian perkhidmatan yang cemerlang kepada orang ramai. 

Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-29, Tahun 2022 berkata demikian dalam kata alu-aluannya semasa Majlis Penghargaan dan Penyampaian Anugerah-Anugerah sempena Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-29, Tahun 2022, berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, di sini. 

Dalam hal ini, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan serta khidmat bakti penjawat-penjawat awam yang menunjukkan ketelusan, ketabahan dan komitmen yang tinggi serta berusaha untuk sentiasa menanai amanah yang diberikan. 

Malahan, beliau berharap ia akan dapat dikekalkan, malah ditingkatkan supaya kita akan bersedia, dalam menangani apa jua ketidakpastian, kerumitan dan gangguan di masa akan datang. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Pemantau Zon 4, Masjid Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Haji Mohd. Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar. 

Acara kemuncak majlis ialah Penyampaian Anugerah-anugerah Perkhidmatan Awam, iaitu Anugerah Inovasi Perdana (AIP); Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) melalui Penarafan Bintang; Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA); dan Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB²PA), disampaikan oleh tetamu kehormat majlis. 

Penyertaan AIP pada tahun ini menumpukan pada Kertas Projek, dibukakan kepada agensi kerajaan secara berkumpulan atau perseorangan. 

Ia juga menumpukan pada beberapa bidang tertentu, seperti meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui aplikasi teknologi info-komunikasi dan kaedah-kaedah tertentu; inovasi dalam perkhidmatan awam; meningkatkan integriti, ketelusan, akauntabiliti, dan tindak balas dalam perkhidmatan awam; serta penambahbaikan kualiti proses dalam perkhidmatan awam yang menyumbang kepada mempercepatkan urusan-urusan yang berkaitan dengan 'ease of doing business' (eodb). 

Sejumlah 16 kertas projek dicalonkan untuk dibuat penilaian oleh Panel Penilaian dan Pemilihan AIP yang dilantik. 

Dalam meneliti dan menilai kertas projek, Panel Penilai AIP memberikan tumpuan yang tinggi ke atas aspek pemilihan projek, mekanisme pelaksanaan projek, hasil dan impak projek, cabaran, dalam melaksanakan projek serta rancangan lanjut projek. 

Oleh yang demikian, Penganugerahan AIP bagi Kertas Projek Tahun 2022, Panel Penilaian dan Pemilihan AIP memutuskan, bahawa belum ada yang layak untuk menerima Anugerah Emas. 

Sementara itu, pemenang Anugerah Perak diberikan kepada Kumpulan FIT FOR PURPOSE dengan Kertas Projek, bertajuk 'Penyelidikan Pengukuran Methodologi Fit for Purpose bagi Negara Brunei Darussalam' dari Jabatan Ukur Cawangan Daerah Tutong, Kementerian Pembangunan, yang menerima geran pembelajaran atau projek, sebuah piala dan sijil penghargaan. 

Manakala, pemenang Anugerah Gangsa ialah kertas projek, bertajuk 'Pelaksanaan Penilaian Student Assessment Tracker (S.A.T) Berkomputer' dari Kumpulan Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan dan Jabatan Peperiksaan dari Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan serta Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan yang juga menerima geran pembelajaran atau projek, sebuah piala dan sijil penghargaan. 

Kemudian, sijil 3PSA melalui Penarafan Bintang dianugerahkan kepada empat agensi kerajaan yang memperoleh tahap pencapaian bintang dan ke atas melalui Penilaian 3PSA, yang dilaksanakan pada Tahun Kewangan 2019/2020; 2020/2021 dan 2021/2022. 

Mereka, terdiri dari Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan; Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan; Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perdana Menteri; dan Bahagian Pendaftaran Syarikat-Syarikat dan Nama-Nama Perniagaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi. 

3PSA merupakan inisiatif berterusan JPM, khususnya Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) bagi menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Perkhidmatan Awam Ke-21, pada tahun 2014. 

Sebanyak 26 agensi kerajaan dinilai melalui 3PSA bagi tiga tahun kewangan berkenaan. 3PSA berfungsi sebagai peranti untuk menilai dan mengukur tahap prestasi serta kualiti penyampaian perkhidmatan agensi-agensi kerajaan. 

Melalui 3PSA juga, diharap akan dapat membantu agensi-agensi kerajaan menuju ke arah kecemerlangan Perkhidmatan Awam. 

Pada tahun ini, seramai 35 warga Perkhidmatan Awam dalam Bahagian-bahagian II, III, IV dan V pula menerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) dan lapan warga Perkhidmatan Awam dari Bahagian V menerima Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB²PA). 

Majlis diselajurkan dengan Penyampaian Kutipan Riadah Amal Hari Perkhidmatan Awam Ke-29 kepada empat buah agensi penerima dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat. 

Turut hadir di majlis tersebut, Timbalan-timbalan Menteri di JPM, Setiausaha-setiausaha Tetap, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan, serta Pegawai dan kakitangan kerajaan.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto