Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Keberangkatan Tidak Berjadual ke Ibu Pejabat Kampus RB
10/01/2023

hm_100123.jpg

Sebagai sebuah syarikat penerbangan yang bermatlamat untuk membina jenama yang sangat berinspirasi bagi pelanggan dan kakitangan serta negara, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) juga akan terus membangunkan proses pengurusan bertaraf dunia dalam penyelenggaraan, operasi, perkhidmatan komersial dan korporat. 

Sehubungan itu, RB menjadi tumpuan Keberangkatan Tidak Berjadual pertama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi awal tahun 2023 ini. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memulakan Keberangkatan Tidak Berjadual baginda ke Ibu Pejabat Kampus RB, di Jalan Kustin, di sini, di Bangunan Ros (Rose Building), yang menempatkan Bahagian Kewangan dan Keselamatan Penerbangan. 

Bangunan Orkid yang berperanan sebagai salah sebuah pusat latihan dan perkembangan serta kebajikan kakitangan RB, turut menjadi tumpuan semasa Keberangkatan Tidak Berjadual Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan melawat ke Bangunan Simpur, meliputi Pejabat Eksekutif; Bahagian Prestasi dan Manusia (People and Performance Division); dan Bahagian Teknologi Maklumat, diikuti dengan lawatan ke Bangunan Hibiscus, yang menempatkan Bahagian Komersial : Jualan, Pemasaran dan Digital. 

Baginda kemudian berkenan berangkat ke Bangunan Lily, meliputi Kargo, Loyalty, Hasil (Revenue) dan Hubungan Antarabangsa, di bawah Bahagian Komersial. 

Kampus RB dilancarkan pada November 2020, dilengkapi pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan jangka panjang, bagi lebih 300 kakitangan yang bertugas di kampus tersebut, yang memperkenalkan konsep pejabat terbuka. 

Kebawah DYMM mengakhiri siri Keberangkatan Tidak Berjadual di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), iaitu Bahagian Penyelenggaraan Talian RB (RB Line Maintenance), yang berikatan dengan kerja-kerja kejuruteraan dan penyelenggaraan. 

Sepanjang keberangkatan, baginda diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; dan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Pengerusi Lembaga Pengarah RB. 

Turut mengiringi baginda ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto