Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Lafaz ijab kabul sempurnakan Majlis Istiadat Akad Nikah Pengantin Diraja
12/01/2023

hm_120123.jpg

Dengan lafaz Basmallah dan “Kaola terima nikahnya Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan maharnya BND1,000 tunai".

Demikian lafaz kabul, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah pada Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja yang berlangsung dengan penuh adat istiadatnya di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, hari ini.

Majlis Istiadat Akad Nikah Pengantin Diraja bagi Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar berlangsung di hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Majlis Istiadat Akad Nikah Pengantin Diraja didahului dengan Panglima Diraja yang membawa Pemuras dan Karga, dan Panglima Asgar membawa Kelasak dan Kampilan serta diiringi oleh Pembawa-pembawa Alat-alat Perhiasan Tunggal, Perhiasan Empat Duli-Duli Yang Teramat Mulia dan Perhiasan Empat Duli-Duli Wazir.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Terdahulu, ketibaan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar dengan dikepalai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong dan diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah didahului oleh 12 Sinipit, diikuti oleh Alat-Alat Kebesaran Diraja yang dibawa oleh Awang-Awang, terdiri daripada enam Pedang dan Perisai, enam Tumbak Bendarangan dan empat Kabok serta Panastan.

Setelah itu, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Yusof menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja telah siap sedia, yang kemudiannya menyembahkan perkara tersebut ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia menitahkan supaya Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja dimulakan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar mengadap ke hadapan majlis Kebawah DYMM bersama dua orang Awang-Awang.

Kebawah DYMM kemudiannya bertitah mewakilkan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim untuk menikahkan paduka anakanda baginda dan mengurniakan titah.

“Alhamdulillah selawat dan salam ke atas Nabi dan Rasul pilihan Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli kerabat dan sahabat-sahabat Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

“Dengan amat sukacita, kaola mewakilkan kepada Pehin untuk menikahkan anak perempuan kaola, Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah dengan Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dengan maharnya BND1,000 tunai''.

Sejurus menandatangani Borang Nikah puteri baginda, Kebawah DYMM kemudiannya memperkenankan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim untuk memulakan Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja dengan membaca Khutbah Nikah dan seterusnya lafaz ijab dan kabul.

Inti pati Khutbah Nikah antara lain menyatakan Akad Nikah itu merupakan peristiwa suci dan mulia yang akan menjadikan kedua-dua mempelai diraja itu hidup berumah tangga dan berkeluarga dengan penuh kebahagiaan dan berkekalan dengan jalinan 'mawaddah warrahmah' dalam menuju keluarga yang sakinah, aman damai yang bakal melahirkan zuriat keturunan yang mulia lagi bertakwa kepada Allah.

Yang Berhormat selanjutnya menerangkan, memandangkan perkahwinan adalah merupakan hubungan antara manusia sesama manusia maka Islam mengajarkan dan menunjukkan tentang hidup berkeluarga iaitu penyatuan dua makhluk manusia yang berlainan jenis jantinanya untuk sama-sama menjalani kehidupan yang penuh kedamaian dan kasih sayang.

Sebaik sahaja lafaz kabul daripada Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar disahkan, sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan sebagai menandakan Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja telah selamat dilaksanakan.

Kemudian Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar menandatangani Borang Nikah, diikuti oleh Yang Berhormat serta empat orang saksi yang terdiri daripada Begawan Pehin Khatib.

Setelah Lafaz Ta'liq dibacakan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar, majlis diikuti dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Semasa mengepalai bacaan Doa Selamat tersebut, Yang Berhormat Mufti Kerajaan dan sekalian jemputan yang hadir merafakkan doa, mohon supaya Tuhan kami satukan kedua-dua pengantin diraja ini dalam ikatan mahabbah dan kasih sayang.

Dan mohon satukan keduanya ya Allah sebagaimana Tuhan kami satukan Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan Saidatina Khadijah Al-Qubra.

“Ya Allah, ya Tuhan kami, mohon bimbing kedua Pengantin Diraja ini pada jalan yang lurus, mohon lanjutkan usia mereka dalam sihat afiat, hidup makmur, rukun damai serta serasi jiwa. Jadikan mereka daripada golongan yang bijaksana, yang memahami akan erti kehidupan ini untuk semata-mata untuk beribadat kepada Allah dan untuk mencari reda-Nya," bacaan doa Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Selesai bacaan doa, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan seterusnya menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja telah sempurna dilaksanakan, yang kemudiannya menyembahkan perkara tersebut ke hadapan majlis Kebawah DYMM.

Baginda kemudiannya menitahkan supaya Majlis Istiadat Akad Nikah Pengantin Diraja ditutup.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto