Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Perdana Menteri Malaysia tiba di NBD bagi Lawatan Rasmi
24/01/2023

dpmm_240123-1.jpg

Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Yang Amat Berbahagia Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail serta rombongan tiba di Negara Brunei Darussalam (NBD) petang tadi bagi mengadakan Lawatan Rasmi selama dua hari. 

Berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan ketibaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan isteri ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman. 

Juga hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Yang Amat Berhormat dan isteri ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Menteri Pengiring dan isteri. 

Juga berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan isteri; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan isteri; Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu dan isteri; Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd. Kadir; Pesuruhjaya Tinggi NBD ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin dan isteri; serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke NBD, Tuan Yang Terutama Raja Dato' Reza bin Raja Zaib Shah dan isteri. 

Sejurus ketibaan, Lagu Kebangsaan kedua-dua buah negara dinyanyikan, dan seterusnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). 

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia seterusnya diperkenalkan kepada Menteri-menteri Kabinet; Timbalan-timbalan Menteri; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei dan isteri; Pemerintah ABDB dan isteri; Ketua-ketua Perwakilan Asing di Negara Brunei Darussalam; serta Setiausaha-setiausaha Tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri. 

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah disembah kenalkan kepada rombongan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia termasuk Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan isteri. 

Semasa Lawatan Rasmi ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan isteri, serta rombongan dijangka akan mengadap ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Istana Nurul Iman pada hari esok. 

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Yang Amat Berhormat ke NBD sebagai Perdana Menteri Malaysia sejak pelantikannya pada 24 November 2022.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto