Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Hubungan dua hala NBD, Malaysia terus dipererat
24/01/2023

hm_240123.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan menerima mengadap Menteri Luar Negeri Malaysia, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Pada Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Malaysia telah berbincang mengenai hubungan dua hala secara amnya di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia.

Selain itu, majlis tersebut juga membincangkan mengenai persediaan Lawatan Rasmi Perdana Menteri Malaysia ke NBD yang akan diadakan serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Menyertai bersama Yang Berhormat ialah Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Yang Berbahagia Dato' Sri Amran bin Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Raja Dato' Reza bin Raja Zaib Shah.

Turut hadir pada Majlis Mengadap, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof.

Ini adalah lawatan pertama Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir ke NBD selaku Menteri Luar Negeri Malaysia.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto