Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Teroka kerjasama pelbagai bidang
07/03/2023

hm_0703234.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menzahirkan perasaan gembira dengan kemajuan yang dicapai antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Turkiye sejak Keberangkatan Negara terakhir baginda pada tahun 2012, iaitu dalam bidang pendidikan, pertahanan serta kerjasama perdagangan dan ekonomi. 

Kedua-dua buah negara berhasrat untuk mengukuhkan lagi bidang-bidang ini melalui lebih banyak pertukaran antara masyarakat dan mengalu-alukan pemeteraian lima dokumen perjanjian. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah sedemikian semasa berkenan menghadiri Sidang Akhbar bersama Presiden Republik Türkiye, Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan selepas Majlis Penandatanganan Dokumen-dokumen Perjanjian 

Di samping itu, Baginda juga menawarkan para pelajar Türkiye untuk melanjutkan pengajian mereka di Brunei di bawah Biasiswa Kerajaan NBD. 

Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menyatakan bahawa Baginda dan rakyat NBD menzahirkan ucapan takziah yang amat mendalam kepada rakyat Republik Türkiye berikutan musibah gempa bumi yang dahsyat terjadi baru-baru ini, dan NBD bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam apa jua cara sekalipun. 

Dalam mengiktiraf pengalaman dan kepakaran Turkiye yang meluas, Kebawah DYMM juga mengalu-alukan kerjasama dalam bidang-bidang baharu seperti seni dan budaya serta dalam industri agri-makanan. 

Di samping itu, lokasi NBD yang strategik di Asia Tenggara dan pembangunan pesat di Pulau Borneo memberikan banyak peluang-peluang pelaburan untuk diterokai bersama oleh kedua-dua pihak. 

Pertemuan bersama Presiden Republik Turkiye ini, jelas baginda, antara lainnya meliputi pelbagai isu-isu dua hala serta perkara-perkara serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama seperti perkembangan di ASEAN, peranan Turkiye dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta usaha-usaha ke arah pengantaraan aktif dalam Konflik Rusia-Ukraine. 

Pada mengakhiri titah, Kebawah DYMM percaya bahawa hubungan dua hala antara NBD dan Republik Turkiye berada dalam kedudukan yang baik untuk terus berkembang lebih kukuh, dan seterusnya mengucapkan penghargaan kepada TYT Presiden atas perbincangan dan pertukaran-pertukaran pandangan yang berharga serta perkongsian ikatan persahabatan peribadi yang mendalam dan erat. 

Terdahulu sebelum itu, Presiden Republik Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdogan, dalam ucapannya, antara lainnya mengongsikan bahawa perbincangan komprehensif mengenai hubungan dua hala akan dapat memajukan lagi kerjasama serta mengukuhkan pertukaran antara masyarakat. 

Kedua-dua Pemimpin juga membincangkan isu-isu global dan menekankan kepentingan alam meningkatkan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa. 

Akhir sekali, TYT merakamkan penghargaan di atas solidariti yang ditunjukkan oleh NBD kepada Republik Turkiye dalam masa yang mencabar ini.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto