Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kebawah DYMM akhiri Keberangkatan Negara
09/03/2023

hm_090323.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam tadi berkenan berangkat bertolak meninggalkan Istanbul setelah selesai menamatkan Keberangkatan Negara ke Republik Türkiye. 

Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar. 

Hadir di Grand Airport VVIP State Guest House Istanbul bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Minister of Industry and Technology, Republik Türkiye, Tuan Yang Terutama Mustafa Varank. 

Juga hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Türkiye, Tuan Yang Terutama Mohammad Shafiee bin Haji Kassim. 

Semasa Keberangkatan Negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, antara lainnya bertitah menyatakan bahawa baginda dan rakyat NBD menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Republik Türkiye atas terjadinya musibah gempa bumi baru-baru ini serta kesediaan NBD untuk menghulurkan bantuan. 

Kebawah DYMM gembira atas kemajuan hubungan dua hala antara NBD dan Republik Türkiye sekali gus mengalu-alukan kerjasama dalam bidang-bidang baharu di samping meneroka bersama pelbagai peluang pelaburan. 

Oleh itu, hubungan ini berada dalam kedudukan yang baik untuk terus berkembang lebih kukuh lagi, titah baginda lagi. 

Kebawah DYMM juga mengadakan Majlis Perjumpaan Empat Mata dan Mesyuarat Dua Hala bersama Presiden Republik Türkiye, Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan, di mana kedua-dua pemimpin membincangkan perkara-perkara yang berkepentingan bersama ke arah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala antara NBD dan Republik Türkiye, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kebudayaan, dan pertahanan. 

Di samping itu, Kebawah DYMM berkenan berangkat ke Upacara Meletakkan Kalungan Bunga di Anitkabir, iaitu mausoleum Mustafa Kemal Atatürk; menghadiri Majlis Sambutan Negara di Presidential Palace; serta lawatan ke Turkish Aerospace Industries di Ankara. 

Manakala di Istanbul pula, Kebawah DYMM berangkat melawat beberapa tempat bersejarah seperti Hagia Sophia Grand Mosque, Topkapi Palace Museum, dan Dolmabahçe Palace, serta menyusuri Selat Bosphorus. 

Kerajaan Kebawah DYMM juga telah memeterai lima dokumen perjanjian baharu dengan Kerajaan Republik Türkiye, iaitu dalam perkara-perkara berkaitan arkib, pendidikan, pertahanan, kebudayaan dan juga perundingan dua hala.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto