Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan melawat ke tempat bersejarah di Istanbul, Republik Türkiye
09/03/2023

hm_0903231.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Istanbul, Republik Türkiye iaitu Hagia Sophia Grand Mosque, Topkapi Palace Museum dan Dolmabahçe Palace.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berangkat ke Hagia Sophia Grand Mosque di mana baginda dialu-alukan oleh Director of Culture, Registry and Museums, Osman Nak.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudiannya disembahkan penerangan mengenai sejarah dan latar belakang masjid berkenaan serta melihat sekitar kawasannya dan menunaikan Sembahyang Sunat Tahyatul Masjid.

Hagia Sophia Grand Mosque merupakan struktur Byzantine yang penting di Istanbul dan salah sebuah monumen terkenal di dunia.

Ia dibina pada abad keenam sebagai sebuah gereja. Setelah kedatangan Islam, bangunan tersebut ditambah dengan menara-menara dan inskripsi Islam dan seterusnya dijadikan sebagai masjid.

Semasa zaman pemerintahan Mustafa Kemal Atatürk, Hagia Sophia dijadikan sebagai muzium dan kemudiannya diumumkan sebagai masjid sekali lagi pada tahun 2020 oleh Presiden Republik Türkiye, Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan.

Selepas melawat Hagia Sophia Grand Mosque, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengadakan lawatan ke Topkapi Palace Museum.

Keberangkatan tiba baginda ke Topkapi Palace Museum dijunjung oleh Deputy Executive Director of National Palaces, Ilhan Kocaman.

Semasa di Topkapi Palace Museum, baginda telah melawat beberapa tempat pameran termasuk galeri artifak suci Islam, hiasan dan senjata peperangan Islam serta tempat-tempat bekas kediaman utama dan ibu pejabat pentadbiran Kesultanan Kerajaan Uthmaniyyah. Topkapi Palace Museum dibuka sebagai muzium pada tahun 1924.

Pada akhir lawatan, baginda berangkat ke Dolmabahçe Palace di mana keberangkatan tiba baginda dijunjung oleh Director of National Palaces, Yasin Yildiz.

Semasa di Dolmabahçe Palace, baginda melihat secara lebih dekat mengenai sejarah bangunan tersebut sebagai istana gaya Eropah pertama di Istanbul yang telah dibina oleh Sultan Abdülmecid I pada Abad Ke-19.

Istana berkenaan sebelum ini adalah tempat kediaman bagi enam sultan terakhir Empayar Kerajaan Uthmaniyyah dan juga dikenali sebagai bangunan tempat di mana Mustafa Kemal Atatürk, Pengasas Republik Türkiye meninggal dunia pada tahun 1938.

Keberangkatan baginda ke tempat-tempat bersejarah ini, antara lainnya, memberikan peluang untuk mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara melalui pemahaman yang lebih mendalam mengenai perkembangan sosial, politik dan ekonomi Republik Türkiye, yang kaya dalam kebudayaan, ketamadunan dan sejarah.

Selesai lawatan-lawatan berkenaan, Kebawah DYMM seterusnya dijunjung berangkat menaiki sebuah kapal persiaran untuk menyusuri sekitar Selat Bosphorus.

Juga hadir ialah Minister of Industry and Technology, Republik Türkiye, Tuan Yang Terutama Mustafa Varank.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto