Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
YSHHB hulur sumbangan bantuan
10/03/2023

mjpm_100323.jpg

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), hari ini, menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND102,350.00 kepada sejumlah enam keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan rumah roboh serta juga kepada 75 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, BND20,950.00 adalah sumbangan yang diserahkan kepada keluarga-keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan rumah roboh di beberapa buah kampung di seluruh negara.

Sementara itu, sebagai usaha menyokong peranan masjid untuk meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam, sejumlah BND81,400.00 disumbangkan kepada 75 buah masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir khususnya bagi sepanjang bulan Ramadan 1444 Hijrah yang akan datang.

Majlis Penyampaian Sumbangan tersebut diadakan di Dewan An-Naura, Tingkat 2, Kompleks YSHHB, di sini.

Majlis didahului dengan penyerahan sumbangan kepada keluarga yang terlibat dalam musibah kebakaran rumah iaitu Dayang Jainah binti Jahari dari Kampung Sinarubai dan Dayang N. Narayana Samy Dhanalakshimi dari Rancangan Perumahan Negara Panaga Seria.

Ini diikuti dengan sumbangan kepada keluarga yang terlibat dalam kejadian musibah rumah roboh terdiri daripada Dayang Zainatul Aini binti Musthapa dari Kampung Pengiran Setia Negara; Dayang Hajah Noriah binti Haji Abd. Latif dari Kampung Burong Pingai Ayer; Dayang Sabariah binti Haji Salleh, dari Kampung Setia 'A' dan Dayang Hajah Buntar binti Haji Jamahat dari Kampung Setia 'A'.

Sumbangan ini merupakan bantuan segera yang dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

Sumbangan kewangan YSHHB tersebut disampaikan oleh Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB.

YSHHB turut memberikan bantuan dan sumbangan kepada sebahagian masjid, surau dan balai-ibadat di seluruh negara bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir masjid, surau dan balai-ibadat.

Sumbangan kewangan YSHHB ini disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.

Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid berkenaan.

Hadir sama pada majlis ini ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.

Turut hadir pada majlis ini ialah Penolong-penolong Pengarah Urusan YSHHB, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai YSHHB.

Penubuhan YSHHB ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto