Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan melawat Bangunan Baharu SMSH
16/03/2023

hm_160323.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan mengadakan Lawatan Tidak Berjadual ke Bangunan Baharu Sekolah Menengah Sultan Hassan (SMSH), di sini. 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke sekolah tersebut dijunjung oleh Pemangku Pengetua SMSH, Helmy bin Haji Abd. Rahman. 

Turut hadir bagi mengiringi keberangkatan Kebawah DYMM ke sekolah tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh. 

Kebawah DYMM mula-mula berkenan melawat Bangunan Blok Pentadbiran yang menempatkan guru-guru SMSH dan kemudian meninjau kemudahan-kemudahan yang ada. 

Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan melawat Blok Bilik Darjah dan menerima sembah penerangan daripada guru-guru sekolah berkenaan. 

Kebawah DYMM kemudian berkenan melawat Blok Makmal Sains yang menempatkan Perpustakaan, Makmal Sains, Bilik Darjah Pre Vocational SMSH. 

Turut menjadi perhatian Kebawah DYMM semasa lawatan tersebut ialah Padang Sekolah berkenaan. 

Sepanjang lawatan tersebut, warga sekolah termasuk para pelajar tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan Kebawah DYMM. 

Sebelum mengakhiri keberangkatan, Kebawah DYMM berkenan menandatangani Lembaran Kenangan keberangkatan dan kemudian dijunjung untuk bergambar ramai bersama warga sekolah di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan. 

Bangunan Baharu SMSH mula digunakan pada Rabu, 1 Mac 2023 bersamaan 8 Syaaban 1444 susulan daripada Majlis Penyerahan Kunci bagi bangunan baharu sekolah berkenaan pada 20 Februari 2023 yang lalu. 

Sekolah tersebut menempatkan seramai 714 pelajar, 80 tenaga pengajar dan 16 tenaga sokongan. 

Dengan adanya bangunan baharu itu akan dapat melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya akan dapat merealisasikan visi sekolah untuk membentuk generasi masa depan yang siap siaga di mana program yang dirancang adalah menjurus kepada mempersiapkan pelajar dengan kemahiran Abad Ke-21 dan kemahiran teknologi untuk membantu pelajar-pelajar berkembang dan dapat mengharungi cabaran-cabaran baharu. 

Terdahulu, sebelum berangkat ke Bangunan Baharu SMSH, Kebawah DYMM berkenan melawat ke Rumah Panjang Tanjung Bungar yang terletak berhampiran dengan Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN). 

Rumah Panjang Tanjung Bungar itu merupakan sebuah rumah panjang moden serta menjadi khazanah warisan dan sering menerima kunjungan para pelancong.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto