Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
KDB AS-SIDDIQ memperkuatkan kerjasama pertahanan NBD - Singapura
21/03/2023

hm_210323.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan berangkat ke Upacara Pentauliahan Kapal Peronda Kapal Diraja Brunei (KDB) AS-SIDDIQ di Jeti Bravo, Pangkalan Tentera Laut Muara. 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Jeti Bravo dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Ng Eng Hen. 

Turut menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia, lapisan kepimpinan Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam (NBD) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kementerian Pertahanan Republik Singapura, dan juga Angkatan Bersenjata Republik Singapura (ABRS), iaitu Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pemerintah ABRS, Leftenan Jeneral Dato Paduka Seri Melvyn Ong Su Kiat; Pemerintah Tentera Laut Republik Singapura (TLRS), Laksamana Muda Sean Wat Jianwen; dan Pemangku Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matserudin, TLDB. 

Upacara berkenaan bermula dengan Kebawah DYMM menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa Kawalan Kehormatan yang merangkumi 110 anggota TLDB yang diketuai Leftenan Komander Ahmad Afifi bin Awang Antin, TLDB. 

Sejurus itu, upacara berkenaan diteruskan lagi dengan menjunjung Kebawah DYMM berangkat ke Dais Pentauliahan di mana bacaan Surah Al-Fatihah dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, TLDB. 

Kebawah DYMM kemudian berkenan mengurniakan Titah Pentauliahan dan juga berkenan mengurniakan Commissioning Pennant kepada KDB AS-SIDDIQ yang diterima oleh Pegawai Pemerintah KDB AS-SIDDIQ, Leftenan Komander Haji Mohammad Arnold bin Haji Osman, TLDB. 

Upacara dilanjutkan dengan pengibaran Commissioning Pennant dan panji-panji TLDB di atas KDB AS-SIDDIQ yang diiringi dengan Lagu Kebangsaan NBD dan laungan Azan bagi memberkati pentauliahan KDB AS-SIDDIQ. 

Kebawah DYMM kemudian dijunjung bagi tinjauan kapal KDB AS-SIDDIQ sejurus bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Pengarah JAMA'AT. 

Upacara pentauliahan berakhir dengan sesi bergambar ramai di Jeti Bravo dengan berlatarbelakangkan KDB AS-SIDDIQ.

Kebawah DYMM seterusnya berkenan berangkat ke Mes Pegawai TLDB bagi sesi eksekutif bersama para pemimpin dari Kementerian Pertahanan, Angkatan Bersenjata dan Tentera Laut kedua-dua belah pihak dan diteruskan dengan Majlis Santap Tengah Hari. 

Penyerahan kapal peronda milik TLRS berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai RSS BRAVE adalah tanda penghargaan dan persahabatan hasil daripada kerjasama erat di antara Angkatan Bersenjata dan Tentera Laut kedua-dua belah pihak. 

Perkataan AS-SIDDIQ yang dipilih daripada bahasa Arab yang membawa maksud 'benar', mempunyai makna yang mendalam yang melambangkan hubungan dua hala yang kukuh di antara TLDB dan TLRS. 

Selama bertahun-tahun, NBD dan Republik Singapura bekerjasama dengan rapat, yang dibina atas asas kepercayaan, saling hormat-menghormati dan persefahaman. 

Ciri-ciri ini akan terus memainkan peranan penting dalam memperkuatkan kerjasama di antara kedua-dua negara pada tahun-tahun mendatang. 

Upacara Pentauliahan KDB AS-SIDDIQ merupakan peristiwa penting dan bermakna dari segi diplomasi pertahanan di antara NBD dan Republik Singapura. 

Juga menjadi sejarah penting di dalam perkembangan TLDB dan juga ABDB.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto