Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
26.05.22 Bangunan Baharu PPS dirasmikan


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat merasmikan Bangunan Baharu Pusat Pendidikan Sekuriti (PPS), Cawangan Sekuriti Pertahanan, Jabatan Menteri Pertahanan dan Jabatanarah Perancangan Strategik pada majlis, yang berlangsung di Bolkiah Garison, di sini. 

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Bangunan Kementerian Pertahanan, dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan. 

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM berkenan untuk menerima Tabik Hormat Diraja, seterusnya memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan, yang terdiri daripada enam pegawai dan 105 anggota lain-lain peringkat dari Batalion Kedua, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), diketuai oleh Pemerintah Kawalan Kehormatan, Mejar Pengiran Abdul Hadi bin Pengiran Idris dari Rejimen Pengawal Diraja. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia, seterusnya dijunjung oleh Pemerintah TDDB dan Pengarah Jabatan Menteri Pertahanan dan Jabatanarah Perancangan Strategik, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Abd. Razak bin Haji Abd. Kadir bagi merasmikan Bangunan Baharu PPS. 

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB, Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, Tentera Laut Diraja Brunei. 

Selesai perasmian, Kebawah DYMM beredar ke Auditorium, seterusnya berkenan mengurniakan titah. 

Setelah itu, baginda berkenan berangkat ke bilik Ruang Galeri bagi menyaksikan pameran-pameran sekuriti, seterusnya dijunjung bagi melawat bilik-bilik kuliah, di tingkat pertama bangunan. 

Kebawah DYMM kemudian berkenan melawat Pejabat Pentadbiran dan Pejabat Pelatih PPS, di tingkat dua, di mana antara kemudahan yang terdapat di sana adalah surau, kantin serta perpustakaan. 

Selesai lawatan, Kebawah DYMM bersama paduka-paduka anakanda baginda dijunjung berangkat ke Bilik VVIP PPS bagi Majlis Santap Tengah Hari. 

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM dijunjung menandatangani lembaran kenangan dan menerima pesambah daripada Jabatan Menteri Pertahanan dan Jabatanarah Perancangan Strategik; serta bergambar ramai bersama warga Cawangan Sekuriti Pertahanan, Jabatan Menteri Pertahanan dan Jabatanarah Perancangan Strategik.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments