Titah KDYMM Sempena Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-16 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2020

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS 
PEMBUKAAN PERSIDANGAN MUSIM 
PERMESYUARATAN KE-ENAM BELAS (16)
 MAJLIS MESYUARAT NEGARA (MMN)

2020

PADA 
HARI ISNIN
14HB. REJAB 1440

09HB MAC 2020

BERTEMPAT
DI DEWAN PERSIDANGAN, 

MAJLIS MESYUARAT NEGARA

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’ala Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

 

Alhamdulillah, kita merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita berkumpul pula di Majlis Persidangan Bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-enam Belas (16) Majlis Mesyuarat Negara.

 

Harapan kita sangatlah tinggi untuk melihat Majlis Mesyuarat Negara menjadi wadah strategik bagi memikir dan membahas perkara-perkara yang diperlukan oleh rakyat dan negara.

 

Apa jua usul dan hujjah yang dikemukakan dalam persidangan, hendaklah berasaskan kepada pemikiran dan penelitian yang rapi, disokong oleh fakta-fakta yang betul dan tepat dan memfokus, hanya kepada isu-isu yang relevan.

 

Pada pengamatan Beta, persidangan Majlis Mesyuarat Negara tahun demi tahun masih saja memerlukan pemerkasaan. Kerana kedapatan, setengah ahli yang dilantik cuma lebih banyak bertanya dari memberi buah fikiran. Ini, menjadikan perbahasan kurang menarik.

 

Situasi ekonomi dunia pada hari ini didapati sebagai tidak menentu. Namun alhamdulillah, negara kita masih saja mampu untuk mencatatkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan, disamping juga dapat menikmati beberapa pembaharuan di segi infrastruktur mahupun yang berbentuk dasar.

 

Ketidaktentuan itu digawatkan lagi oleh pergolakan geo-politik dunia yang tidak berkesudahan. Kemudian secara mendadak, pasaran kewangan dunia pula, terutama di rantau Asia, mengalami masalah teruk akibat penularan wabak COVID-19. Kesan daripada wabak ini telah menjejaskan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi di kebanyakan negara di dunia, termasuk menjadi sebab kurangnya permintaan minyak dan gas dunia, yang secara automatik, menjadikan harga kedua-dua komoditi ini jatuh. 

 

Ini, boleh menyebabkan negara mengalami defisit setelah mencatat lebihan baki fiskal pada Tahun Kewangan 2018-2019.

 

Namun kita tetap bersyukur, kerana negara ditakdirkan bebas dari wabak yang menggerunkan ini. Kita berharap, Negara Brunei Darussalam akan terus mendapat perlindungan Allah daripada serangan virus COVID-19. 

 

Pada hemat Beta, ini adalah, kerana berkat Brunei sentiasa menghayati do’a, di masjid-masjid kita berdo’a, di rumah-rumah kita berdo’a dan di majlis-majlis kita berdo’a. Pendeknya, Brunei Darussalam adalah cukup makmur dengan do’a, maka Beta berharap, supaya kita meneruskan amalan berdo’a sebagai budaya bangsa.

 

Turut juga disyukuri, kerana sepanjang tahun 2019, Kerajaan Beta masih dapat meraih beberapa pencapaian yang signifikan, antaranya transformasi sektor telekomunikasi yang mampu bertindak meningkatkan inovasi untuk mengubah landskap ekonomi Negara ke arah Digital dan Fourth Industrial Revolution (4th IR) melalui penubuhan Syarikat Unified National Networks Sdn Bhd (Syarikat UNN) yang 100 peratus dipunyai oleh kerajaan Beta. 

 

Berkaitan dengan Sumber Tenaga Manusia pula, Beta telah memperkenankan bagi Manpower Planning and Employment Council (MPEC) ditempatkan di Jabatan Perdana Menteri, bagi memikirkan langkah-langkah berkesan ke arah meningkatkan peluang-peluang pekerjaan dan menangani isu pengangguran.

 

 Dasar-dasar yang ada juga mustahak diteliti, misalnya, yang berkaitan dengan kemasukan pekerja-pekerja asing; halangan atau proses yang boleh menyekat komuniti business dari berkembang; mengadakan latihan-latihan bagi membantu pencari-pencari pekerjaan; mereview syllabus-syllabus yang berkaitan dengan program latihan; mereview proses mempercepatkan pengisian jawatan-jawatan kosong dalam perkhidmatan awam dan lain-lain.

 

Beta juga telah memperkenankan penubuhan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) bagi tujuan menjana aktiviti perekonomian serta meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di daerah ini.

 

Mengenai dengan perbelanjaan kerajaan, kita menyedari, bahawa perbelanjaan itu terus saja meningkat tahun demi tahun. Oleh itu, setiap agensi kerajaan dikehendaki supaya berhati-hati dalam menggunakan peruntukan yang telah disediakan.

 

 Perlu diingat, hasil pendapatan yang banyak tidaklah semestinya mampu untuk menjamin kestabilan dan kekukuhan kewangan, andainya hasil itu tidak diurus dengan betul dan cekap. Tetapi dengan adanya amalan berhemah dan usaha-usaha mempelbagaikan ekonomi, maka insya Allah kita akan dapat mengukuhkan kestabilan makroekonomi dan kedudukan kewangan negara.

 

Dalam pada itu, sangatlah penting diingat mengenai cara penggunaan wang kerajaan. Cara ini mesti benar-benar telus dan amanah. Jangan mentang-mentang wang kerajaan, kitapun secara sewenang-wenang membuat projek, walaupun projek itu kurang penting. Atau memang ada kecenderungan berbelanja besar, sebab peruntukan dari kerajaan. Atau mungkin juga di sebalik peruntukan besar itu berlaku sandiwara ‘pintu belakang’ dengan pihak-pihak tertentu di luar kerajaan. 

 

Dan lebih malang lagi, kalau hanya pandai membuat projek, sedang pengawasan terhadap kerja-kerja projek sangat lemah, sehingga apabila siap projek itu, didapati banyak kerosakan atau kekurangan berlaku.

 

Mengapa ini terjadi? Pertama kerana pengawasan lemah, dan kedua, apabila pengawasan lemah, maka mudahlah berlakunya penyelewengan seperti penyelewengan menggunakan bahan-bahan yang murah atau rendah kualiti.

 

Di sini, Beta ingin menyeru, khasnya kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dilantik, supaya menyuarakan pandangan-pandangan mereka tanpa ragu-ragu. Suara mereka adalah diperlukan untuk kebaikan.

 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah KDYMM Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 bagi Tahun 2020

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA
SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-36 BAGI TAHUN 2020

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Sudah sewajarnya kita merafa’akan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah pula kita meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Semoga dengan perayaan ini akan mengingatkan kita kepada rahmat Allah berupa kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran.

Rahmat Allah turun, kerana negara ini berstatus ‘Negara Zikir’, dengan umat di dalamnya menjalani kehidupan bertakwa. Apabila sesebuah negara dihuni oleh manusia-manusia ahli takwa, maka janji Allah pasti berlaku menurunkan berkat daripada langit dan mengeluarkannya daripada bumi.

Pada tahun ini kita menjulang tema sambutan, berbunyi: “Menjayakan Wawasan Negara”. Menyebut wawasan sahaja tidak memadai. Tetapi yang penting, kita mesti menentukan ‘dasar’, selaku penunjuk arah kepada satu-satu matlamat atau tujuan yang hendak dicapai.

Pada Beta, dasar terbaik ialah ‘takwa’. Takwalah landasan satu-satunya yang mampu untuk menyampaikan kita kepada kejayaan. Hanya dengan takwa jua segala perjalanan hidup terjamin lurus dan adil, termasuk langkah kita menjana Wawasan Negara.

Di bawah dasar ini, kebajikan rakyat dan penduduk adalah diutamakan.

Siasah takwa dapat memperkukuh perpaduan umat dan menjamin keharmonian antara kaum. Sementara terhadap mereka yang di luar lingkungan pula, akan kekal menikmati hubungan berbaik-baik, atas dasar hormat-menghormati dan tidak mencampuri urusan masing-masing.

Dalam ekonomi, dasar takwa juga menjamin kesucian, iaitu menjana rezki dari sumber yang halal, bukan dari sumber yang haram. Dasar ini melarang keras menipu atau memberi dan menerima rasuah dan lain-lain. Pendeknya, dasar ekonomi takwa, sama sekali tidak menganiaya mana-mana pihak.

Kita sekarang dalam rangka memperkasa masyarakat dan institusi kekeluargaan. Di sini, dasar takwa adalah mampu untuk menjamin golongan tertentu supaya mendapat pembelaan dan perlindungan. Maka melalui Program Pelan Membasmi Kemiskinan Di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), kita telahpun merangka inisiatif-inisiatif pemerkasaan sara diri bagi golongan sasaran.

Langkah ini akan membuka peluang yang lebih luas untuk golongan tertentu untuk mendapatkan pekerjaan ataupun bergiat di dalam bidang keusahawanan, yang sekaligus akan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

Ini juga mendukung konsep takwa, yang menggalakkan umat Islam supaya berdikari dengan titik peluh sendiri.

Walau bagaimanapun, negara tetap mengambil tanggungjawab untuk mengusahakan pelbagai kemudahan bagi kebajikan rakyat, seperti misalnya, sedikit masa lagi insya Allah, kerajaan akan melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang akan membolehkan pemohon bantuan untuk membuat permohonan secara di atas talian (online).

Apapun rancangan dan perubahan, banyak bergantung kepada sumber tenaga manusia. Sumber ini tidak syak lagi adalah aset terpenting negara, kerana merekalah yang akan berusaha untuk mencorakkan kehidupan, selaras dengan keperluan.

Sumber tenaga yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi amatlah dihajati bagi tujuan membawa perubahan.

Sekarang, satu projek raksaksa, Jambatan Penghubung di antara Daerah Brunei  dan Muara dan Daerah Temburong sedang menunggu masa untuk dibuka. Dari sini, kita boleh belajar, bahawa tanpa sumber tenaga berkemahiran, projek ini tidak mungkin menjadi kenyataan.

Demikian itulah pentingnya untuk kita melakar pendidikan tinggi untuk melahirkan sumber tenaga yang berkemahiran.

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 pada tahun ini.

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara,           Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sabda DPMM Di Upacara Istiadat Perbarisan Sempena Hari Polis Ke-99 Tahun

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

DI UPACARA ISTIADAT PERBARISAN SEMPENA HARI POLIS KE-99 TAHUN
 
BERTEMPAT
PADANG KAWAD, PUSAT LATIHAN POLIS, KOMPLEKS IBU PEJABAT POLIS GADONG
 
PADA
HARI SELASA, 1 REJAB 1441 BERSAMAAN 24 FEBRUARI 2020
 
 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala diatas limpah kurnia dan rahmat-Nya jua, mengizinkan kita berhimpun di Istiadat Perbarisan Hari Polis Ke-99 Tahun pada pagi yang penuh bersejarah ini.

Sesungguhnya perhimpunan ini adalah sangat bermakna dalam menyuntik semangat serta melestarikan budaya kerja berdaya maju, disamping merista pencapaian dan kejayaannya selaku anggota pasukan beruniform yang sentiasa berganding bahu bersama masyarakat dalam mempertahankan kedaulatan, memelihara keselamatan dan kemakmuran bumi Brunei Darussalam.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diatas dedikasi dan khidmat bakti dengan usaha berterusan untuk mengekalkan profesionalisme dan momentum kecemerlangan demi keutuhan keharmonian kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dalam mencapai usia ke-100 tahun, berbagai bentuk cabaran dan dugaan telah dan bakal diharungi pasukan polis yang setentunya turut mempengaruhi perkembangan, ketahanan dan integritinya secara keseluruhan.

Tema Sambutan Hari Polis tahun ini, iaitu ‘Bersama Menghadapi Cabaran’ memperingatkan kita semua bahawa keteguhan iman serta nilai-nilai beragama dan bernegara adalah sinonim dengan cabaran kerjaya dan tugasan bidang kepolisan yang memerlukan komitmen di samping jati diri yang tinggi.

Jesteru, ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja serta sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab kepada pucuk kepimpinan adalah merupakan teras kepada pasukan polis dalam bersama-sama mempertahankan kesucian agama, perpaduan rakyat serta memelihara ketenteraman dan kedaulatan negara.

Natijahnya, cabaran yang perlu dihadapi masa kini adalah semakin kompleks dalam mana kes-kes jenayah yang melibatkan ancaman pengganas dan ideologi bercanggah termasuk tindak-tanduk segelintir masyarakat yang ada kalanya di luar jangkaan. Kecanggihan teknologi infokomunikasi dan alam siber juga turut merubah landskap komunikasi sosial serta potensi ancamannya kepada keselamatan. Perkembangan ini menuntut pihak pasukan polis untuk sentiasa siap siaga dalam menangani serta mengurus kesan daripada perubahan-perubahan yang amat disruptif kepada keharmonian kehidupan dan perpaduan masyarakat.

Ke arah itu, pembangunan kompetensi yang relevan kepada setiap anggota adalah signifikan kepada memperkasa keupayaan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan secara berterusan. Dalam hubungan ini, saya juga ingin mengingatkan semua anggota untuk sentiasa menanamkan sikap sense of purpose dan urgency melalui amalan budaya kerja yang sentiasa bermatlamat serta bersegera dalam tindakan demi menanai amanah pasukan polis.

Di arena global pula, saya gembira mengetahui pasukan polis terus berusaha untuk mengembangkan rangkaian kerjasama dengan pasukan polis serantau dan antarabangsa termasuk menyertai misi pasukan pengaman di kawasan konflik tertentu. Perkara ini setentunya membantu ke arah memantapkan lagi kemampuan serta reputasi PPDB menurut standard dan perspektif luar agar sama hebat serta setanding dengan pasukan-pasukan asing yang seangkatan.

Setiap anggota hendaklah sentiasa peka terhadap landskap keselamatan semasa dengan mengikuti perkembangan bidang kepolisan serantau dan antarabangsa, di samping bersedia untuk mempelajari dan mengadaptasi amalan-amalan terbaik menurut perspektif dan impak positifnya kepada negara. Perkara ini adalah selaras dengan titah paduka ayahanda semasa berangkat ke PPDB pada 5 September 2019 bahawa “Pasukan polis perlu mencari kecemerlangan dalam kerjaya mereka, cegah betul-betul jenayah, bersihkan Negara Brunei Darussalam daripada jenayah, ianya sebenar-benar tugas pasukan polis.”

Bersukut dari titah tersebut, saya juga ingin menekankan tentang kepentingan untuk pasukan polis sentiasa beringat dan berwaspada bahawa setiap tindakan, tugasan dan interaksinya bersama masyarakat adalah signifikan kepada meraih keyakinan masyarakat serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

Akhirnya bersempena Istiadat Perbarisan Hari Polis Ke-99 Tahun, marilah kita bersama-sama bertekad untuk terus menabur khidmat terbaik ke arah meningkatkan serta memperkukuhkan kewibawaan pasukan polis seiring dengan tuntutan zaman. Di sebalik segala tindakan dan apa jua usaha yang dilaksanakan, saya ingin menekankan bahawa setiap usaha dan tindakan tersebut hendaklah didasari dengan doa serta bertawakal sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar kita semua sentiasa diberikan taufik dan hidayah serta dalam pemeliharaan dan keredaan-Nya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.

 

***

Titah KDYMM Sempena Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 2020

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN

BAGI TAHUN 2020

PADA 
HARI KHAMIS (MALAM JUMAAT)
06HB. JAMADILAKHIR 1441

30HB JANUARI 2020

TEMPAT:
DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

 

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan ‘inayah-Nya jua dapatlah kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang berkat ini, untuk mendengarkan ayat-ayat Allah berkumandang di dalamnya.

 

Musabaqah membaca Al-Qur’an di negara ini sudah memasuki kali ke-62 ia diadakan. Ertinya sudah lebih 60 tahun musabaqah ini berlangsung. Jangka masa yang sepanjang itu sudah tentu menjadi ingatan manis kepada siapa jua yang pernah menyaksikannya. Begitu juga bagi peserta musabaqah sendiri dan ahli-ahli jawatankuasa yang mengendalikannya. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan ganjaran pahala kepada semua mereka yang terlibat itu.

 

Beta sangat tertarik dengan tema majlis pada kali ini, iaitu “Menjana Keberkatan Rezki Dengan Al-Qur’an”.

 

Berkat secara umum, boleh diertikan sebagai kurnia berupa rahmat daripada Allah. Sementara istilah rezki pula mempunyai maksud pelbagai. Ia boleh berupa harta, kesihatan, ilmu pengetahuan, ketenteraman dalam keluarga dan seumpamanya.

 

Dengan banyak-banyak membaca Al-Qur’an boleh mengundang berkat, sedang berkat pula bererti ‘lebih’ atau melempah-lempah dan diantara yang lebih atau melempah itu boleh saja berupa rezki.

 

Antaranya rezki, berpunca dari keberkatan sedekah, keberkatan istighfar, keberkatan usaha dan seumpamanya.

 

Ini semua, dirumus sebagai amal takwa, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah At-Talaq ayat 2 hingga 3, tafsirnya:

“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia (Allah) akan menyediakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari sumber yang tidak disangka-sangkanya”.

Sehubungan itu, telah mendorong Beta untuk tidak jemu-jemu menasihat, supaya semua lapisan masyarakat di negara ini melazimkan diri membaca Al-Qur’an, dalam makna, kita dituntut supaya sama-sama menghiasi rumah-rumah kita dengan cahaya Al-Qur’an. Biarlah Al-Qur’an itu terus menyinar dan memberkati segala aktiviti kita.

 

Di samping membaca, memahami ayat-ayat Al-Qur’an juga adalah menjadi keutamaan. Lalu kerana itu, kita pun mengambil langkah mengusahakan penyusunan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya. Dan kini penyusunan itu sedang diusahakan.

 

Mengenai bidang pelajaran Al-Qur’an, Beta mahu semua Institusi Pendidikan di negara ini hendaklah mengambil perhatian berat, khasnya Institusi Pendidikan Ugama adalah tidak wajar untuk bersikap lebih kurang atau menganggapnya sebagai kurang penting, sehingga periode untuk mata pelajaran Al-Qur’an itu dibiarkan kurang, berbanding mata-mata pelajaran lain.

 

Terutama bagi Institusi Perguruan Ugama, adalah tidak munasabah untuk mengurangkan periode Al-Qur’an, kerana selaku pegawai atau guru ugama nanti, mereka itu dikehendaki mesti mahir dan mengusai semua aspek, mengenai Al-Qur’an. Jadi cuba bayangkan, jika mata pelajaran Al-Qur’an diabaikan ketika  di dalam pengajian?

 

Beta berharap perkara ini diambil perhatian sewajarnya.
Akhirnya, Beta sukacita mengucapkan penghargaan kepada semua peserta musabaqah pada kali ini. Kalah atau menang bukanlah matlamat utama, tetapi keikhlasan mengharapkan pahala daripada Allah, itulah yang menjadi keutamaan. Kepada para qari dan qariah yang berjaya menjadi juara, kita berdoa, semoga Allah memberkati kejayaan mereka.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sabda DPMM Pada Majlis Perasmian Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441 / 2020 (Malam Pertama)

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1441 /2020
(MALAM PERTAMA)
 
BERTEMPAT
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
 
PADA
SELASA, 3 JAMADILAKHIR 1441H BERSAMAAN 28 Januari 2020M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

SYUKUR ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berkumpul pada malam yang mubarak ini di dalam Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2020 Masihi.

Marilah kita sama-sama meraih rahmat tersebut dengan bertasbih mendengarkan bacaan para qari dan qariah dengan diam menghayati sambil memikirkan maksud serta makna ayat-ayat yang dibaca.

Membaca Al-Qur’​an adalah zikir paling utama. Menyedari ganjarannya yang amat besar maka wajarlah membaca Al-Qur’an dijadikan amalan kelaziman bagi rakyat dan penduduk di negara ini, khususnya di kalangan para belia.

Ini adalah sangat mustahak, apatah lagi dalam era globalisasi masa kini yang berjaya merubah bentuk pemikiran, ideologi, budaya termasuk berbagai elemen negatif dari luar.
Kehebatan Al-Qur’an terbukti dalam konteks pendidikan sebagai asas yang kukuh ke arah pembinaan tamadun manusia dari aspek duniawi dan juga ukhrawi. Bahkah Al-Qur’an itu sendiri diturunkan dengan matlamat dan tujuan untuk mendidik umat manusia, sekali gus mengeluarkan manusia daripada kejahilan dan kesesatan.

Alhamdulillah, setakat ini beberapa buah sekolah rendah dan menengah serta Institusi Pengajian Tinggi di negara ini telah mengambil inisiatif ke arah memantau kekerapan dan kemahiran membaca Al-Qur’an serta penerapannya ke dalam kehidupan.

Di samping pemantauan kemahiran dan pelaziman membaca Al-Qur’an secara formal, institusi keluarga turut memainkan peranan penting dalam sama-sama mengukuhkan lagi matlamat tersebut.

Adalah menjadi tanggungjawab para ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran rumah tangga yang harmoni antara lainnya melalui pendekatan interaksi yang mesra ceria, kawalan emosi yang tenang dan penyediaan makanan yang pastinya halalan tayyiban (yang halal lagi yang baik) dengan ikatan solat berjemaah serta pautan ayat-ayat suci Al-Qur’an.

Inilah elemen teras dalam membentuk keluarga sakinah, mawaddah, dan rahmah atau keluarga bahagia yang terhindar dari gangguan serta bisikan iblis dan syaitan.

Ke arah itu, marilah kita sama-sama memahami maksud dan mendalami pengertian yang terkandung dalam ayat-ayat suci Al-Qur’an sebagai tamsilan dan pedoman dalam menjalani kehidupan seharian di muka bumi ini.

Hanya Al-Qur’an sahajalah yang mampu membimbing kita untuk sentiasa berada di atas landasan yang benar lagi selamat di dunia dan akhirat.

Akhirnya, dengan berkat kalimah Bismillaahir Rahmaanir Raheem, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan sukacita merasmikan Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1441 Hijrah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​