TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE-56 TAHUN

PADA:
HARI AHAD
26HB ZULHIJJAH 1438
17HB SEPTEMBER 2016

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah
Subhanahu Wata’ala yang telah mentakdirkan kita dapat menjalani kehidupan dengan penuh selesa.

Dalam usianya 56 tahun, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah memainkan peranannya dengan berkesan dalam memelihara keamanan dan kedaulatan negara. Tanggungjawab ini sangatlah berat lagi mencabar untuk dilaksanakan, khasnya dalam suasana persekitaran dunia tanpa sempadan.

Ledakan teknologi juga turut membuahkan ancaman-ancaman yang perlu dihadapi.

Ancaman paling jelas pada masa ini ialah penularan pengaruh pihak tertentu di merata dunia yang menggunakan pelbagai cara untuk mempengaruhi masyarakat supaya bersimpati dan menyokong objektif mereka. Di sini, anggota tentera juga adalah tidak terkecuali dari risiko pemesongan ideologi. Oleh itu, Beta berseru kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei supaya terus mengukuhkan benteng dalaman mereka, agar selamanya menjadi perwira sejati, tidak terpengaruh oleh anasir-anasir yang tidak diingini.

Benteng dalaman ini termasuk ketahanan rohani dan ugama. Kefahaman ugama yang sempurna tidak syak lagi, mampu untuk menangkis segala fahaman salah yang menjurus kepada ekstremisme. Disinilah pentingnya nilai-nilai Melayu Islam Beraja menjiwai kehidupan kita.

Kita perlu ingat bahawa anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab sangatlah bijak mempergunakan kaedah-kaedah baru seperti media sosial, untuk menyebarluaskan ideologi mereka, dan seterusnya, mendorong masyarakat ke arah
radicalisation. Oleh itu, Beta menekankan betapa mustahaknya untuk mematuhi etika penggunaan media sosial, dan menjalankan pemantauan secara proaktif, bagi memastikan keutuhan benteng dalaman itu.

Selain daripada ancaman
radicalisation, ancaman siber juga semakin membimbangkan. Dalam zaman digital ini, internet memainkan peranan untuk mematuhi keperluan kita. Ini termasuklah bagi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Oleh itu, risiko terhadap keselamatan siber ini adalah sangat tinggi. Ianya dinamik dan sentiasa boleh dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Maka dalam perkara ini, Beta sukacita mengambil maklum akan usaha-usaha Kementerian Pertahanan dalam meningkatkan pertahanan siber, sebagai langkah memperkukuhkan lagi benteng pertahanan.

Mengambil kira kepelbagaian ancaman keselamatan yang semakin kompleks ini, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei patutlah memberikan perhatian lebih khusus terhadap tahap kesiapsiagaan kita, melalui kaedah-kaedah lebih pintar, selaras dengan keadaan semasa.

Sifat proaktif dan bijak mestilah ada dalam membuat pengurusan, pemeliharaan aset-aset pertahanan dan pembinaan kapasiti anggota-anggota tentera. Beta berharap kesiapsiagaan dalam perkara ini hendaklah sentiasa di tahap yang tinggi, agar peranan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dapat dilaksanakan dengan berkesan. Maka untuk itu juga, Kementerian Pertahanan adalah perlu untuk melaksanakan
Prioritisation Exercise dan
Equipment Care dengan lebih komprehensif, supaya peruntukan kewangan yang sedia ada dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Dalam bidang kerjasama, Beta mengharapkan supaya Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan  dalam negeri untuk menggunakan strategi sekuriti yang holistik. Demikian juga sama pentingnya bekerjasama dengan rakan-rakan luar negara. Beta yakin semua ini boleh dicapai melalui
platforms yang sedia ada di peringkat serantau dan antarabangsa.

Beta turut berbangga dengan penglibatan kita dalam misi-misi pemantauan dan pengaman melalui Pasukan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Republik Filipina dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan. Penempatan anggota-anggota di
Information Fusion Centre dan
Regional Humanitarian Assistance and Disaster Relief Coordination Centre (RHCC) di Changi, Republik Singapura, turut juga menjadi tanda komitmen negara dalam meningkatkan keselamatan serantau.

Beta juga berpuas hati dengan inisiatif-inisiatif di peringkat ASEAN, khususnya di bawah
ASEAN Defence Ministers’ Meeting atau ADMM. Insya-Allah, menteri-menteri pertahanan ASEAN akan melancarkan talian
hotline ASEAN Direct Communications Infrastructure pada penghujung tahun ini. Beta percaya, ini akan memperkukuhkan lagi mekanisme tindak balas dan bantuan dalam keadaan kecemasan, khasnya yang berkaitan dengan keselamatan maritim.

Semua pencapaian ini tentu saja berpunca daripada kepimpinan dan perpaduan yang berkesan di semua peringkat Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Beta mengucapkan syabas atas pencapaian ini.

Melalui kesempatan ini, Beta ingin merakamkan penghargaan kepada semua anggota Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, sama ada yang masih bertugas mahupun yang telah bersara di atas komitmen dan dedikasi mereka yang tinggi selama ini. Tidak lupa juga, Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli keluarga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei terus memberikan sokongan moral dan semangat kepada mereka.

Akhir kata, Beta mengucapkan syabas kepada semua warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berbaris tangkas pada pagi ini dan yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.