
YANG MULIA AWANG ZULHUSAM BIN HAJI ABDUL SAMAD
SETIAUSAHA TETAP
SEKURITI DAN UNDANG-UNDANG
Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad mula berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 19 Ogos 1997 sebagai Pegawai Staf di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), sejurus selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera (English Medium) di Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada tahun 1997.
Pada tahun 2003, beliau dilantik sebagai Ketua Sekretariat Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan (Defence Executive Committee – DEC) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), di samping meneruskan tugasnya di JKDN. Beliau kemudiannya mula bertugas sepenuh masa di Sekretariat DEC pada tahun 2004. Pada tahun 2005, Sekretariat DEC telah dinamakan semula sebagai Sekretariat Jawatankuasa Keselamatan Negara (SJKN).
Setelah berkhidmat selama enam (06) tahun di SJKN, beliau melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Sains (Asian Studies) di S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University, Republik Singapura. Setelah menamatkan pengajian pada tahun 2010, beliau kembali berkhidmat di JKDN dan seterusnya memegang beberapa jawatan utama, termasuk sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) mulai tahun 2021.
Pada 22 Julai 2023, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM sambil meneruskan tugas-tugasnya sebagai Timbalan Pengarah (Operasi), JKDN.
Pada menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad telah dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM dan merangkap Timbalan Pengarah, JKDN berkuatkuasa 01 Julai 2026.
Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Dr Salbrina binti Haji Sharbawi, Senior Assistant Professor di UBD, dan dikurniakan empat (04) orang cahaya mata.
