YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA AWANG HAJI MOHAMAD AZMI BIN HAJI MOHD HANIFAH

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(TENAGA, HULUAN DAN HILIRAN)

Dato Seri Setia Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah mempunyai kelulusan B.Eng. (Hons) dalam bidang Chemical and Process Engineering dari University of Surrey, United Kingdom, dan memulakan kerjaya di Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) sebagai Graduate Process Engineer pada tahun 1995. Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri minyak dan gas, termasuk pernah ditugaskan di Kesultanan Oman selama 4 tahun dan pernah memegang jawatan kanan selama 5 tahun di Kementerian Tenaga dan Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri. Di samping itu, beliau pernah berkhidmat selama hampir 2 tahun dengan sebuah syarikat kontraktor minyak dan gas tempatan.

Semasa di Syarikat BSP, beliau pernah memegang beberapa jawatan dalam disiplin kejuruteraan sebagai Process Engineer, Offshore Campaign Engineer dan Front-End Engineer. Beliau juga telah mengetuai beberapa Jabatan Kejuruteraan seperti Corporate Front-End Engineering, West Asset Engineering, Onshore Engineering and Construction, dan Asset Engineering Design, yang antara lain berperanan melaksanakan projek-projek bernilai tinggi.

Dari tahun 2013 hingga 2018, beliau telah diperbantukan sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan Perkhidmatan Tenaga di Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga & Industri), Setiausaha Tetap (Industri) dan Setiausaha Tetap (Tenaga & Industri). Beliau kembali berkhidmat di Syarikat BSP pada tahun 2020 sebagai Pengarah Komersial, sebelum menggalas peranan tambahan sebagai Timbalan Pengarah Urusan pada tahun 2021.

Pada 24 Oktober 2023, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri dan kemudiannya dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia, Darjah Pertama (S.P.M.B.) pada 15 Julai 2024.

Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Baginda telah berkenan untuk melantik beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) pada 4 Jun 2026. Beliau turut dianugerahkan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia, Darjah Pertama (P.S.N.B.) sempena perayaan Hari Keputeraan Baginda ke-80 pada 15 Julai 2026. Selain tugas utama beliau, beliau juga dilantik untuk menerajui pelbagai peranan dalam beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta badan-badan berkanun Kerajaan.