
YANG MULIA DAYANG HAJAH ALDILA BINTI HAJI MOHAMAD SALLEH
TIMBALAN SETIAUSAHA TETAP
SEKURITI DAN UNDANG-UNDANG
Hajah Aldila binti Haji Mohamad Salleh telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa 1 Julai 2026. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penasihat Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Perdana Menteri pada bulan September 1994, selepas menamatkan pengajian dari University of Bristol di United Kingdom dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) pada Jun 1993 dan seterusnya dipanggil ke Bar England dan Wales pada tahun 1994.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) dalam Undang-Undang Jenayah, Kriminologi dan Keadilan Jenayah dari King’s College, University of London pada tahun 2009. Sepanjang hampir 24 tahun berkhidmat di AGC, Hajah Aldila mempunyai pengkhususan dalam bidang keadilan jenayah dan pendakwaan, dengan mengendalikan pelbagai kes yang mencabar dan berprofil tinggi.
Pada bulan Ogos 2018, Hajah Aldila telah dipindahkan ke Kementerian Pembangunan (MOD) sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan dan kemudiannya dinaikkan pangkat serta dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang) di Kementerian yang sama pada 5 April 2021. Dalam hal ini, beliau berperanan memberikan khidmat nasihat undang-undang yang menyeluruh merangkumi pelbagai perkara, bagi menyokong tadbir urus yang berkesan, pematuhan peraturan dan membuat keputusan yang baik. Sepanjang tempoh perkhidmatannya di Kementerian Pembangunan, beliau telah memberi sumbangan besar dalam memperkukuh penguatkuasaan peraturan, berperanan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar serta perundangan berkaitan tanah, dan juga memberi nasihat berkenaan perundingan, pembinaan serta kontrak perkhidmatan untuk projek-projek Kerajaan.
