TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN
SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGERA BRUNEI DARUSSALAM
DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND SERTA
PENGANUGERAHAN BIASISWA ‘CHANCELLOR’S SCHOLAR’
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

PADA HARI AHAD,15 RABIULAKHIR 1440
BERSAMAAN DENGAN 23 DISEMBER 2018

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas di sini dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Majlis ini memberi peluang untuk Beta mengetahui secara dekat mengenai kesejahteraan dan kemaslahatan mereka, khasnya para pelajar yang sedang menuntut di sini.

Sumber manusia adalah aset bagi pembangunan sesebuah negara. Maka menyedari ini, Beta tanpa kendur-kendurnya ingin menekankan, bahawa pendidikan, sama ada formal, tidak formal mahupun latihan berterusan adalah pelaburan tertinggi negara.

Kerajaan Beta akan terus memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang terpilih untuk mengikuti pengajian di luar negara melalui pelbagai Skim Biasiswa.

Para pelajar itu, sama ada melalui Biasiswa Kerajaan, Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan, Biasiswa Agensi-Agensi lain mahupun  pembiayaan sendiri hendaklah menggunakan peluang ini untuk benar-benar menimba ilmu dan kemahiran, bukan untuk kepentingan diri sahaja, malahan juga untuk bangsa, ugama dan negara.

Terutama melalui Skim Biasiswa Kerajaan ke Luar Negara, adalah diharapkan, supaya para pelajar, setelah menamatkan pengajian mereka nanti, akan kembali ke tanahair untuk sama-sama memikul tanggungjawab membangun negara.

Namun, Beta mendapat tahu, bahawa masih terdapat di kalangan pelajar Biasiswa Kerajaan Beta yang tidak mengotakan janji, dengan mereka itu enggan pulang ke tanahair untuk menabur khidmat kepada negara. Perkara ini amatlah menyedihkan.

Para pelajar sepatutnya mesti memiliki semangat patriotisme atau kesetiaan terhadap negara, bukannya menyebabkan negara menanggung kerugian.

Oleh itu, Beta menyarankan supaya pihak-pihak berkenaan dapat memikirkan langkah tegas untuk mengenakan tindakan yang bersesuaian ke atas para pelajar yang seumpama ini, selaras dengan perjanjian yang telah dipersetujui oleh mereka semasa penganugerahan Biasiswa.

Pada hari ini, kita akan menyaksikan pula penganugerahan Biasiswa berprestij kali keenam, “The Chancellor’s Scholar” Universiti Brunei Darussalam bagi sesi 2018/2019 dalam pengajian di institusi-institusi ternama di United Kingdom.

Beta berharap, penerima-penerima ini, bukan sahaja perlu berjaya dalam akademik, malahan juga perlu kekal untuk memiliki semangat patriotisme, termasuk tidak mungkir janji untuk berkhidmat kepada negara.

Atas dasar keprihatinan terhadap pelajar, maka Beta dengan ini sukacita memperkenankan, mulai 1 Januari 2019, kadar Elaun Sara Hidup (termasuk Elaun Perjalanan) bagi penuntut yang belajar, khususnya di United Kingdom dan Ireland di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan PhD di bawah Biasiswa-Biasiswa Kementerian Pendidikan, Dana Sumber Manusia, Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk dinaikkan seperti berikut:

1. Bagi penuntut-penuntut di bawah Biasiswa Kementerian Pendidikan sama ada di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan PhD, dinaikkan kepada Pound Sterling (£1,000.00) iaitu semuanya sama rata bagi peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan PhD. Ini bermakna penuntut-penuntut yang belajar di Ireland juga akan menerima kadar elaun yang sama di dalam matawang Pound Sterling sebelum ditukar kepada matawang Euro. Walau bagaimanapun, elaun-elaun lain adalah masih sama dengan kadar yang diterima sekarang.

2. Bagi penuntut-penuntut di bawah Biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, kadar elaun bulanan juga naikkan kepada Pound Sterling (£1,000.00) di samping mengekalkan kadar Elaun Bulanan Supplement dan elaun-elaun yang diterima sekarang.

3. Manakala kadar elaun sara hidup bagi penerima Biasiswa Sultan’s Scholar, Chancellor’s Scholar, Latihan Dalam Perkhidmatan adalah tidak berubah.

4. Sementara itu, penuntut-penuntut di bawah Biasiswa Kerajaan yang belajar di tempat-tempat lain selain di United Kingdom dan Ireland, juga tidak terkecuali turut menerima kenaikan Elaun Sara Hidup yang sama dalam kadar yang bersesuaian.

Beta berharap dengan adanya kenaikan ini akan dapat memberikan ‘peace of mind’ kepada penuntut-penuntut bagi membolehkan mereka memberikan tumpuan yang lebih kepada pembelajaran masing-masing. Beta juga mengharapkan kenaikan Elaun Sara Hidup ini akan dapat digunakan dengan bijak dan berhemah dan bukannya untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah atau manfaat.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan agar semua pelajar dan pegawai yang bertugas di sini akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.