TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN​​​ YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BAGI TAHUN 1439 HIJRAH / 2018 MASIHI
(MALAM KETIGA)

PADA 
HARI KHAMIS
14HB. JAMADILAKHIR 1439 / 02HB MAC 2018

BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM



Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat bersama-sama hadir dalam majlis yang berkat ini. 

Adalah tema musabaqah pada malam ini berbunyi: “Al-Qur’an Sumber Kepimpinan Adil”. Tema ini mengingatkan kita kepada sebuah hadis masyhur yang menceritakan bagaimana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah memperakui cara sahabat Baginda, Mu’az bin Jabal, yang diutus menjadi gabenor di Yaman, telah memutuskan suatu hukuman dengan terlebih dahulu merujuk kepada Al-Qur’an. Maka tema ini adalah sangat tepat untuk membimbing kita bagaimana menjadikan Al-Qur’an itu sebagai sumber rujukan dalam kepimpinan. 

Pengertian Adil adalah bermaksud meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul lagi layak. Soalnya, adakah kita sudah melakukan ini, sesuai dengan pengertian tersebut?

Alhamdulillah, tahun demi tahun kita telah diberi taufiq dan hidayah alah Allah Subhanahu Wata’ala untuk tetap istiqamah mengadakan musabaqah Tilawah Al-Qur’an. Rasa-rasanya dengan ini, dapatlah dianggap, bahawa kita telah pun berlaku adil meletakkan Al-Qur’an itu pada tempatnya yang wajar untuk dipelajari dan dihayati dengan sebaik-baiknya. 

Di samping musabaqah peringkat ini, Beta juga gembira mengetahui, bahawa di sana ada beberapa musabaqah lagi yang bukan hanya dalam bidang bacaan, malahan juga hafazan dan pemahaman. Ini pun satu lagi cara kita berlaku adil kepada Al-Qur’an, kerana Al-Qur’an selain untuk dibaca, ia juga adalah untuk difahami dan dihayati. 

Di samping generasi yang sedia ada perlu terus berusaha membaca dan memahami Al-Qur’an, anak-anak kita, generasi penerus juga adalah lebih penting lagi untuk disiapkan dengan ilmu Al-Qur’an, sehingga mereka itu dapat mencapai lebih baik lagi daripada kita. Kerana mereka adalah aset masa depan yang lebih menentukan. 

Di Brunei, kita ada Sekolah Ugama. Pembelajarannya ialah selama tujuh tahun, dimana Al-Qur’an merupakan mata pelajaran terpenting, yang diajarkan sejak dari peringkat pra lagi. Di sekolah-sekolah menengah umum juga ada tafsiran dan pemahaman Al-Qur’an. Begitu juga kita ada Sekolah-Sekolah Arab pelbagai peringkat dan Institut Tahfiz Al-Qur’an yang mengajarkan Al-Qur’an serta ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. 

Di peringkat pengajian tinggi pula, kita juga sudah ada Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang terus giat mengajarkan ilmu-ilmu Al-Qur’an. 

Beta percaya, memang wajar bagi para mahasiswa yang berkenaan untuk memahami Al-Qur’an. Jika mahasiswa di bidang ugama dan guru-guru ugama tidak atau belum memahami Al-Qur’an maka siapa lagi? Kita pernah mendengar golongan orientalis turut memahami Al-Qur’an kerana mereka bersungguh-sungguh berusaha untuk itu, maka mengapa mahasiswa kita yang berkenaan tidak berusaha?

Bagi masyarakat umum pula, kita masih saja boleh belajar menurut kadar kemampuan masing-masing.

Untuk akhirnya, Beta mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya ke peringkat akhir dan seterusnya kepada pemenang yang terpilih bagi mewakili negara ke Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Antarabangsa nanti. Marilah kita sama-sama merealisasikan tema ini agar ianya tidak hanya tinggal tema, dan berusaha serta berdoa agar kita benar-benar menjadikan Al-Qur’an sebagai sumber rujukan dalam kehidupan kita di Negara Brunei Darussalam ini. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.