TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT
AKHIR KEBANGSAAN BAGI
TAHUN 1447 HIJRAH / 2026 MASIHI
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama berhimpun pada malam yang penuh berkat ini bagi menyemarakkan Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi.
Beta mengambil maklum, tema Majlis Musabaqah pada tahun ini berbunyi “Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur’an dan Menghayati Ajarannya’. Sesungguhnya Al-Qur’an bukan sahaja untuk dibaca, bahkan untuk dipelajari, difahami dan diamalkan sebagai panduan hidup.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Isra’ ayat 9, tafsirnya: “Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk ke jalan yang lebih lurus dan menyampaikan khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amalan-amalan salih, bahawa bagi mereka adalah pahala yang besar.”
Ayat ini telah menjelaskan bahawa pembelajaran Al-Qur’an tidak terhenti kepada membaca sahaja, bahkan meminta kita untuk memahami serta menghayati pengajaran yang terkandung di dalamnya.
Sehubungan itu, Musabaqah Membaca Al-Qur’an ini hendaklah difahami sebagai salah satu usaha berterusan Kerajaan Beta dalam mengukuhkan pembelajaran Al-Qur’an secara menyeluruh, di samping pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif berkaitan Al-Qur’an yang telah diungkayahkan oleh pelbagai agensi, sama ada melalui program kemahiran Al-Qur’an, tadabbur dan penghayatan ayat-ayat Al-Qur’an, kelas-kelas Al-Qur’an di masjid-masjid, mahupun program-program pembangunan belia dan masyarakat serta pusat-pusat pembelajaran Al-Qur’an swasta yang semakin berkembang di negara ini. Kesemua usaha ini adalah bertujuan untuk memperelok bacaan, memperdalam kefahaman serta menzahirkan penghayatan Al-Qur’an dalam pembentukan akhlak dan tingkah laku.
Dalam usaha memperkukuh lagi budaya membaca Al-Qur’an dalam kalangan masyarakat, Beta juga mengambil maklum mengenai satu inisiatif baharu Kementerian Hal Ehwal Ugama, iaitu penubuhan Skim Tilawah Al-Qur’an Kanak-Kanak (STAKA) khusus bagi kanak-kanak yang berumur 10 tahun hingga 11 tahun. Skim ini merupakan satu langkah yang amat baik dalam menyemai kecintaan terhadap Al-Qur’an sejak usia lebih awal lagi. Melalui skim ini, kanak-kanak akan diberi latihan dan bimbingan awal mengenai ilmu tilawah Al-Qur’an, dan sekali gus menyemai kecintaan terhadap Al-Qur’an.
Beta percaya, usaha memupuk peringkat kanak-kanak ini adalah sangat penting untuk menjadi asas dalam pembentukan akhlak dan keperibadian yang mulia.
Beta melihat, bahawa dalam era kemajuan teknologi masa kini, penggunaan medium digital dalam pembelajaran, penyebaran dan penghayatan Al-Qur’an adalah semakin meluas. Namun Beta berpendapat, bahawa teknologi sahaja tidaklah cukup untuk menghasilkan penghayatan Al-Qur’an, melainkan mesti ada juga kesungguhan dalaman mencintai Al-Qur’an.
Akhirnya marilah kita terus menjadikan Al-Qur’an sebagai panduan sepanjang hayat, kerana Al-Qur’an menurut Hadits Nabi riwayat hari Muslim, akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafa’at kepada para pembacanya.
Kepada Johan Qari dan Qariah serta semua yang berjaya ke Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun Beta tidak lupa merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
