TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMASA MESYUARAT MAJLIS TERTINGGI WAWASAN BRUNEI 2035
KALI PERTAMA BAGI TAHUN 2025​

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subahanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat duduk bersama di Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 kali pertama bagi tahun 2025 pada hari ini.

Beta menghargai komitmen dan sokongan padu semua ahli dalam usaha untuk menjayakan Wawasan Brunei 2035 yang merupakan hala tuju jangka panjang negara yang mencerminkan cita-cita murni dan komitmen padu ke arah kemajuan yang inklusif, seimbang dan berterusan.

Wawasan Brunei 2035, bukan sahaja menjadi panduan dasar dan strategi pembangunan negara tetapi juga mencerminkan harapan rakyat dan penduduk negara bagi kualiti kehidupan yang tinggi, peluang yang saksama dan sebuah negara yang makmur, aman dan sejahtera.

Tiga aspirasi utama Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk melihat Negara Brunei Darussalam dikenali dengan rakyatnya yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, mempunyai taraf hidup yang berkualiti tinggi dan ekonomi yang dinamik dan mampan, mencerminkan hala tuju strategik negara yang berpandangan jauh dari berlandaskan cita-cita murni ini. Kejayaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035, menuntut perancangan pembangunan yang teliti, penyelarasan dan pensejajaran yang kukuh serta komitmen tinggi daripada/kepada semua pihak, ia juga bergantung kepada pelaksanaan yang cekap sebagai asas kepada pembangunan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan. Kita memerlukan institusi yang kukuh, urus tadbir yang berkesan dan penggunaan data yang menyeluruh sebagai asas perancangan dan keputusan strategik dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks seperti konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi akibat ketegangan perdagangan, perubahan iklim dan transformasi digital. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan usaha-usaha Majlis Tertinggi ini sentiasa selaras dengan perkembangan semasa. Dan pada masa yang sama, tidak lari dari tiga nilai teras Wawasan Brunei 2035 iaitu kesetiaan kepada Sultan dan negara, keyakinan terhadap nilai-nilai Islam dan keharmonian sosial dan amalan tradisi berbaik-baik. Disinilah pentingnya, peranan Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 dalam memastikan perancangan strategik yang di susun dibawah kerangka kerja Wawasan Brunei 2035. Blueprint-Blueprint Wawasan Brunei 2035 dan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara adalah di kehendaki sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Sebagaimana titah Beta lebih sedekad yang lalu semasa penubuhan Majlis ini, mengenai dengan pentingnya kerjasama erat di antara Majlis dan Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara dalam memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan negara dengan lebih terarah dan menyeluruh, Beta berharap Majlis Tertinggi ini akan terus menyokong inisiatif-inisiatif yang digerakkan oleh semua pihak dalam merealisasikan objektif-objektif besar di bawah Wawasan Brunei 2035 dan menjayakan pelaksanaan Blueprint-Blue print.

Semua orang perlu ingat bahawa usaha untuk mencapai semua ini, tidak dapat dipikul oleh kerajaan Beta sahaja, bahkan ia memerlukan penglibatan semua pihak khususnya bukan kerajaan, sebagai rakan pembangunan strategik. Beta juga berharap, tindakan transformasi yang di ambil oleh Majlis ini dengan gandingan usaha padu jentera perkhidmatan awam dan sektor bukan kerajaan akan dapat memenuhi harapan generasi kini dan akan datang.

Usaha bersama perlu untuk membawa ke arah pembangunan yang pesat demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat di negara ini. Majlis ini akan meneliti kerangka kerja Wawasan Brunei 2035 yang telah dikemas kini termasuk penetapan petunjuk-petunjuk prestasi utama atau KPI-KPI kebangsaan dan penggunaan indeks Wawasan Brunei 2035 sebagai pengukur pencapaian di peringkat kebangsaan.

Beta difahamkan bahawa semua ahli telahpun meneliti rangka kerja Wawasan Brunei 2035 melalui kementerian masing-masing dan perbincangan di peringkat mesyuarat koordinasi Wawasan Brunei 2035. Ini penting bagi membolehkan Majlis Tertinggi bagi mendapat gambaran menyeluruh mengenai pencapaian semasa dan hala tuju menjelang tahun 2035.

Beta berharap, kerangka kerja Wawasan Brunei 2035 dan KPI-KPI Kebangsaan akan digunakan secara telus, konsisten dan meluas dalam memandu tindakan transformasi khususnya melalui Blueprint-Blueprint yang telah disediakan. Selaras dengan hasrat ini, usaha dan inisiatif yang bersepadu di setiap peringkat adalah penting dalam memantapkan perlaksanaan strategi dan pelan tindakan. Strategi yang dirancang hendaklah saling mendukung dan menghasilkan kesan berganda (multiplier effect) kepada semua sektor dan kumpulan sasaran. Ini termasuklah keperluan untuk semua pihak terus fokus kepada sasaran yang dipersetujui bersama tanpa tersasar daripada hala tuju utama Wawasan Brunei 2035.

Bagi memastikan kedayatahanan agenda pembangunan negara, kita perlu mengorak langkah yang dinamik dan sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran masa hadapan yang tidak menentu dalam dunia yang pantas berubah, kesiapsiagaan untuk bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan isu-isu semasa yang muncul (emerging issues) adalah penting kerana ia boleh memberi kesan langsung kepada pencapaian KPI-KPI kebangsaan yang telah ditetapkan kerana itu setiap pelan dan inisiatif pembangunan perlu dilihat sebagai satu life document yang memerlukan semakkan dan penyelarasan dari semasa ke semasa mengikut keperluan semasa dan perubahan.

Pendekatan ini penting bagi memastikan strategi-strategi pembangunan kekal relevan, responsif dan berupaya mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam meningkatkan kemakmuran ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pembangunan modal insan negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.