TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1438H/2017M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Semua kita orang-orang beriman tidak sunyi dari menerima ujian Allah
Subhanahu Wata’ala. Ujian itu bertujuan untuk mengukur sejauh mana iman dan kesabaran kita. Jika iman memang tebal di dada, maka orang yang sedemikian itu akan berjaya menghadapi ujian, walaupun seberat mana ujian tersebut.

Contoh ujian paling berat, ialah ujian ke atas Nabi Ibrahim dan putera Baginda, Nabi Ismail
‘Alaihimassalatu Wassalam. Mereka telah diuji oleh Allah dengan satu tuntutan luar biasa mesti berkorban.

Nabi Ibrahim
‘Alaihissalam  telah diminta oleh Allah untuk mengorbankan puteranya, Nabi Ismail, supaya putera itu disembelih hidup-hidup. Bayangkan, bapa manakah yang sanggup menyembelih anak, dan bayangkan juga anak manakah yang bersedia untuk disembelih bapa?

Tetapi inilah permintaan Allah, dan apa jua bentuk perintah, semua itu adalah wajib diikut atau dipatuhi.

Demi ketaatan, Nabi Ibrahim tetap mematuhi perintah Allah. Dan bahkan, bukan Nabi Ibrahim sahaja yang patuh, tetapi puteranya Nabi Ismail juga tidak membantah untuk dia disembelih.

Inilah contoh ‘ta’at’ yang tiada tolok bandingnya. Kerana ta’at, Nabi Ibrahim sanggup menyembelih puteranya, dan kerana ta’at juga, putera yang masih kanak-kanak ini tidak membantah untuk disembelih.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Daripada peristiwa ini, kita mendapat gambaran, betapa setiap perintah Allah itu adalah wajib dita’ati.

Kita umat yang datang kemudian sangat beruntung tidak diuji dengan ujian yang terlalu berat, seperti ujian ke atas Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kita hanya diuji dengan perintah melakukan ibadat dan melaksanakan hukum-hukum syari’at sahaja.

Dalam ibadat, misalnya, kita diuji dengan perintah mendirikan sembahyang, berpuasa pada bulan Ramadhan dan lain-lain. Sementara yang berkaitan dengan syari’at, kita diuji untuk memilih yang halal dan menjauhi  yang haram, termasuk menghukum dengan undang-undang Allah dan sebagainya.

Ini saja ‘ujian tanggungjawab’ yang dituntut ke atas kita. Konsepnya adalah      sama: Wajib dipatuhi. Tidak boleh dilanggar, jika dilanggar, hukumnya adalah haram dan berdosa.

Kalau Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail diuji dengan nyawa, mengapakah kita yang cuma diuji dengan ibadat dan melaksanakan hukum-hakam dalam kehidupan ini, tidak sanggup kita tunaikan?

Sepatutnya senario ini membawa keinsafan kepada kita, bahawa setiap ujian itu ada hikmahnya. Kerana Allah tidak menguji kosong, tetapi mahu melihat siapakah diantara hamba yang diuji itu yang mampu bersabar dengan ujian?

Jika seseorang konsisten melakukan keta’atan, maka bermakna orang itu adalah seorang yang sabar, kerana keta’atan tidak mungkin berlaku tanpa adanya kesabaran. Sebagai misalan orang yang berpuasa adalah orang sabar, kerana tanpa sabar, ibadat puasa tidak mungkin dapat dilakukan.

Sebab itulah, Allah
Subhanahu Wata’ala sangat menyukai orang-orang yang sabar, sebagaimana maksud ayat dalam Al-Qur’an, dan malah Allah akan mengurniakan mereka dengan ganjaran yang tidak terbatas.

Demikian maksudnya sabar itu. Dengan sabar kita dapat memelihara dan menyempurnakan ibadat, dan dengan sabar juga kita mampu untuk meraih kejayaan dalam apa jua bidang pekerjaan.

Inilah berkat sabar bagi orang-orang Islam.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Marilah kita sama-sama berdo’a, semoga Allah
Subhanahu Wata’ala menjadikan kita orang-orang yang sentiasa berhias dengan sifat sabar, khasnya bagi para jemaah kita yang sedang menyempurnakan ibadat haji di Tanah Suci, kerana sebagaimana kita      sama-sama maklum, pada ketika inilah, banyak kesukaran atau ujian yang dialami oleh para jemaah daripada seluruh dunia. Semoga dengan berkat kesabaran itu, para jemaah kita Insya-Allah akan beroleh haji yang mabrur. Amin.

Akhir kalam, Beta dan keluarga Beta dengan sukacita mengambil peluang mengucapkan
Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana juga mereka berada.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.