TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN
SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA
AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BAGI TAHUN 1440 HIJRAH / 2019 MASIHI
(MALAM KETIGA)
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS,
NEGARA BRUNE DARUSSALAM
10 JAMADILAWAL 1440 / 14 FEBRUARI 2019
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat sama-sama berkumpul di Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah bersamaan 2019 Masihi Kali Ke-59 pada malam ini.
Mengadakan Majlis Musabaqah Tilawah Al-Qur’an adalah satu amalan sangat berkebajikan, di mana kita sama-sama dapat mendengar kata-kata Allah atau ayat-ayat suci Al-Qur’an dibaca. Ia adalah salah satu amalan zikir, sesuai sebagai pengisian Negara Zikir.
Merujuk tema Majlis ini, “Memperkasa Pembelajaran Al-Qur’an”, maka Beta percaya, semua rakyat yang berugama Islam telahpun memahami kepentingan Al-Qur’an, berasaskan, Kerajaan Beta telahpun sekian lama menerapkan pendidikan Al-Qur’an itu di sekolah-sekolah. Cuma barangkali tahap kemahiran membaca sahaja yang berbeza.
Secara formal, pembelajaran Al-Qur’an diberikan sekurang-kurangnya enam tahun di sekolah rendah ugama di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama. Bagi pelajar yang memasuki sekolah-sekolah Arab, mereka bernasib baik kerana pembelajaran Al-Qur’an ada disediakan. Beta berharap, perkara pembelajaran Al-Qur’an ini juga hendaklah diteruskan di sekolah-sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan dan sekolah swasta. Beta ingin melihat, pelajar-pelajar bukan sahaja diberikan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam, tetapi juga secara khusus diberikan pelajaran Al-Qur’an.
Oleh itu Beta mengharapkan, supaya pihak-pihak bertanggungjawab dalam hal ini dapat memberikan inisiatif yang praktis ke arah mengembangkan kemahiran membaca Al-Qur’an itu secara berterusan. Inilah antara maksud Menjana Pembelajaran Al-Qur’an.
Untuk mencapai barakah di dalam kehidupan, kita mesti kembali kepada Al-Qur’an. Kerana Al-Qur’an itu Kitab Allah, petunjuk ke jalan yang lurus.
Kita semua adalah sekata meyakini Al-Qur’an. Tetapi menyebut ‘yakin’ sahaja tidaklah cukup. Kita juga mesti bersedia menerima nasihat, perintah dan hukum hakam daripada Al-Qur’an, barulah bermakna keyakinan itu.
Dalam konteks ini, Beta berpendapat, negara juga wajar dibangun dengan nasihat, perintah dan hukum hakam Al-Qur’an. Maka untuk itu, setiap kementerian, jabatan dan bahagian di bawahnya wajarlah meneliti semua dasar, falsafah, misi, visi dan matlamat serta perancangan strategik dan pelaksanaannya supaya bersesuaian dengan kandungan Al-Qur’an dan Al-Hadith.
Mudah-mudahan dengan inisiatif dan tindakan semua pihak, khasnya yang berkaitan, segala perancangan akan berjalan dengan baik, dan khusus mengenai pemerkasaan Pembelajaran Al-Qur’an juga, dapat ditangani dengan berkesan.
Akhirnya Beta sukacita mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada peserta yang berjaya ke Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun ini. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Qari dan Qariah kita yang akan mewakili negara ke Musabaqah Tilawah Al-Quran sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah Subhanahu Wata’ala dan dapat mempersembahkan tilawah yang baik dan bermutu tinggi.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
