TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA `IDIL FITRI
1439 HIJRAH / 2018 MASIHI
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

PADA HARI KHAMIS,
21HB. SYAWAL, 1439
5HB. JULAI, 2018

BERTEMPAT
DI DEWAN PLEANRY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat lagi meraikan Hari Raya `Idil Fitri dengan penuh kesyukuran dan gembira.

Di Negara Brunei Darussalam, kemeriahan Hari Raya `Idil Fitri tidak hanya dirasakan dalam lingkungan antara keluarga, sanak saudara dan rakan taulan, tetapi turut juga dikongsi sama oleh seluruh masyarakat dari pelbagai peringkat. Tradisi yang baik ini perlu diteruskan sebagai wadah menyuburkan silaturrahim dan sikap hormat-menghormati.

Di bulan Ramadhan yang baru lalu, seperti biasa, budaya saling membantu berkembang subur dalam masyarakat kita. Golongan yang mampu, tampil kehadapan untuk menyumbangkan bantuan kepada mereka yang berhajat, bagi sama-sama menikmati suasana `Idil Fitri.

Inilah ajaran Islam, sangkut-menyangkuti menjadi amalannya. Tiada beriman seseorang yang membiarkan rumah saudaranya tidak berasap, sedang rumahnya sendiri dipenuhi dengan aneka hidangan atau juadah.

Tema sambutan `Idil Fitri anjuran Yayasan Beta pada tahun ini, berbunyi: “Memajukan Ekonomi Negara Dengan Memperkasa Sektor Swasta.”

Dengan apakah sektor swasta itu diperkasa? Tentu saja dengan mengwujudkan pelbagai produktiviti yang terhasil daripada kerja keras atau usaha manusia.

Beta sangat gembira mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada sektor swasta dan golongan pemegang ijazah yang masih menunggu atau mencari pekerjaan, sebagai peserta pada tahun ini. Kedua-dua golongan ini berpotensi untuk saling membantu diantara satu dengan yang lain bagi memperkasa diri masing-masing.

Sektor swasta di mana-mana saja, memang sudah lama dikenali sebagai jentera penggerak kepada pertumbuhan ekonomi. Di negara kita juga tidak kurang mempunyai bisnes yang resilient yang sudah lama wujud mendepani cabaran membina ekonomi itu.

Jentera ini tentu saja memerlukan bahanapi untuk ia berfungsi. Bahanapi tersebut tidak lain ialah tenaga kerja yang berkualiti.

Beta difahamkan, dari data JobCentre Brunei menunjukkan, bahawa terdapat 1,800 graduan yang berpotensi untuk membantu memperkasakan sektor swasta ke arah mencapai sasaran bisnes. Beta juga difahamkan, terdapat lebih dari 200 syarikat yang memerlukan perkhidmatan dikalangan graduan peringkat sarjana.

Maka dalam hubungan ini Beta berharap, kedua-dua pihak, sektor swasta dan para graduan akan menggunakan peluang keemasan pada hari ini untuk menjalinkan silaturrahim, sambil saling mengenali diantara satu dengan yang lain.

Masing-masing mereka tak syak lagi boleh menyumbang bagi merealisasikan pembangunan ekonomi negara, sehingga ke tahap dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.

Di pihak sektor swasta Beta yakin, mampu untuk tidak menghampakan harapan semua, dengan bersedia menerima berkhidmat anak-anak tempatan, khasnya para graduan kita yang sedang mencari atau menunggu pekerjaan.

Ini adalah satu tanggungjawab suci, dan jika ia berjaya dilaksanakan, maka sudah pasti, ianya jadi satu sumbangan yang sangat bermakna kepada negara.

Di pihak graduan pula, elakkanlah sikap memilih kerja, kerana apapun pekerjaan adalah ia ‘rezki’. Bukan bekerja di sektor kerajaan sahaja rezki, tetapi di sektor swasta juga rezki. Malah berniaga, berternak, bercucuk tanam dan ke laut menangkap ikan, juga adalah rezki. Jika semua ini dilakukan dengan sabar dan gigih, maka berkatnya yang lumayan, pasti diterima. Berkat itulah segala-galanya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu `Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.