TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN
BAGI TAHUN 1439H / 2018M
PADA
HARI JUMAAT
16HB. RAMADHAN 1439
1HB JUN 2018
BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul meraikan Sambutan Nuzul Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan yang Mubarak ini.
Kita sama-sama maklum, bahawa Al-Qur’an diturunkan adalah sebagai ‘hidayah’ atau petunjuk yang lengkap bagi segenap aspek kehidupan, yang meliputi kehidupan di dunia membawa sehingga ke akhirat. Satu daripada petunjuk Al-Qur’an itu ialah mengenai zakat. Zakat bukan saja satu kewajipan, malahan juga, salah satu dari rukun Islam yang ke lima.
Sistem Pengeluaran, Pengutipan dan pengagihan zakat adalah diambil daripada Al-Qur’an dan Al-Hadith, sebagai satu cara pengurusan ekonomi Umat Islam.
Beriman dengan Al-Qur’an, bermakna juga, kita wajib mengamalkan segala ajarannya. Di antara ajaran Al-Qur’an itu ialah menunaikan zakat.
Zakat adalah sebaik-baik sistem untuk mengurus ekonomi. Dengannya, pembahagian rezeki adalah teratur, dimana orang kaya akan jadi penyumbang, sementara mereka yang berhak pula akan jadi penerimanya.
Melalui sistem ini, struktur masyarakat akan terjamin kukuh dan tidak pincang. Kerana yang ‘berhajat’ akan tetap terbela, sementara golongan yang ‘terabai’, tidak akan berbangkit lagi dalam masyarakat.
Inilah antara hikmah zakat itu.
Kerana itu Beta mahu, supaya pentadbiran zakat diperkasa terus. Kemaskan semua cara dan strategi menanganinya. Cari kaedah terbaik untuk membanteras kemiskinan dengan zakat, sehingga, penerima-penerima zakat akan dapat berdikari, tidak lagi menerima zakat tetapi menjadi pengeluar zakat.
Ini tidak mustahil untuk berlaku, misalnya : Dengan bermodalkan wang zakat, penerima zakat boleh dibimbing untuk berniaga atau memulakan satu-satu perusahaan sehingga mereka berjaya dan mampu untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Jika ini dapat dicapai, maka tidak syak lagi, ia adalah satu kejayaan besar dalam pentadbiran zakat.
Beta rasa, pihak berkenaan wajar mencuba, jangan tidak mencuba. Usahakanlah satu cara yang boleh membawa kepada kesedaran, iaitu kesedaran untuk berubah, bukan untuk kekal tidak pernah berubah.
Perubahan adalah idaman bagi setiap masyarakat maju. Tanpa perubahan, tidak akan ada cerita tentang kemajuan. Perubahan tidak syak lagi adalah sinonim dengan kemajuan. Kerana itu, kita sangat menginginkan gelombang perubahan untuk membawa kita melangkah maju.
Dengan pengurusan zakat, tidaklah semestinya statik, tetapi wajar untuk meningkat atau berubah, di mana dengan peningkatan atau perubahan itu, boleh memungkinkan terbukanya satu ‘laluan tepat’ untuk dilalui, bagi mengatasi apa-apa yang sukar diatasi. Inilah gunanya kita meningkat atau berubah itu.
Akhir kalam, di kesempatan ini, Beta dengan sukacita mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya mendapat tempat di Musabaqah Menghafaz Al-Qur’an serta Pemahamannya, Peringkat Akhir Kebangsaan, dan marilah kita sama-sama merafa’kan syukur serta do’a ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga kita dan negara sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan-Nya. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
