TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA MENYAMBUT
TAHUN BARU MASIHI 2019
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Bersyukur kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat melangkah ke Tahun Baru Masihi 2019 dalam keadaan aman lagi sejahtera, sedang orang lain di mana-mana mengalami pelbagai bencana. Ini tidak syak lagi adalah satu kurnia istimewa daripada Allah kepada kita. Kita wajiblah mensyukurinya.
Dari sudut ekonomi alhamdulillah, unjuran pertumbuhan pada tahun 2019 ini dijangka semakin lebih baik. Namun kita tidaklah boleh leka atau cepat-cepat berpuas hati, kerana di sana masih banyak cabaran untuk dihadapi.
Antara yang menjadi perhatian utama kini ialah Revolusi Perindustrian Keempat atau Fourth Industrial Revolution. Adapun langkah berkesan ke arah ekonomi ialah penyertaan kita dalam rangkaian global untuk meningkatkan produktiviti dan peluang, dengan memastikan juga kita dapat memenuhi prasyarat piawaian dan peraturan, selain berupaya menyesuaikan diri dengan teknologi digital.
Ini memerlukan kita untuk meningkatkan kerjasama dengan negara-negara lain. Dalam rangkaian ekonomi global, kita perlu mengambil peluang yang sedia ada, termasuk di rantau ASEAN, di mana pasaran e-dagang ASEAN mempunyai potensi untuk meningkat dari $30 billion dollar Amerika dalam tahun 2016 kepada $200 billion menjelang tahun 2025.
Kemajuan teknologi hasil daripada Revolusi Industri Keempat ini walau bagaimanapun, akan mencabar kemahiran konvensional yang kita miliki, yang memerlukan peningkatan kemahiran yang ada dan pembelajaran sepanjang hayat.
Dari kesan ekonomi pada skop yang lebih luas, kita perlu menyediakan dasar-dasar yang bersesuaian untuk menjalin kerjasama serantau dan antarabangsa.
Khusus dalam konteks hubungan dengan negara-negara rantau ASEAN, kita perlulah berusaha ke arah proses membangun Komuniti ASEAN itu sendiri, di mana dengan berbuat demikian, kita akan mampu untuk memastikan kejayaan bagi generasi masa kini dan akan datang.
Rantau ASEAN sedang bergerak pantas ke arah pertumbuhan ekonomi. Ia dijangkakan menjadi kuasa keempat ekonomi terbesar dunia menjelang tahun 2030. Maka ke arah itu, kita perlulah melipatgandakan lagi usaha memperkasa perdagangan intra-ASEAN.
Langkah di dalam pula tidaklah kita abaikan. Kita akan terus bergerak ke hadapan untuk menemui sasaran, dalam makna, keperluan negara dan rakyat adalah diutamakan.
Kita melihat ini dengan kacamata yang jauh untuk jangka panjang. Misalnya apabila kita bercakap mengenai dengan ‘bumi hijau’, yang kita maksudkan ialah ke arah mencapai sara diri dari hasil pertanian.
Inilah sasaran atau matlamat yang ingin kita tuju. Kita akan kekalkan ia sehingga berjaya. Bagi pihak-pihak yang berkenaan di dalam kerajaan, hendaklah memahami perkara ini tanpa ada lagi sebarang alasan untuk mengabaikannya.
Kita mesti konsisten mara ke hadapan, bukan berundur ke belakang. Inilah namanya kita membangun dengan semangat juang.
Ini amat penting bagi mempastikan, bahawa bangsa tidak akan dipaliti oleh sindrom malas.
Kemudian berikutnya yang lebih utama, kita tidak akan lari dari nilai-nilai luhur yang telahpun menjadi pegangan kita semenjak dari beratus tahun lagi. Nilai itu ialah konsep MIB.
Akhirnya, bersukut dengan memasuki tahun baru ini, Beta menyeru rakyat dan penduduk supaya menguatkan lagi azam dan usaha untuk menjadi masyarakat yang lebih proaktif, produktif dan berintegriti dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang.
Beta juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan, dan sektor swasta, di atas usaha ikhlas mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2018.
Beta dan keluarga Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2019 kepada seluruh rakyat dan penduduk, sama ada yang berada di dalam atau di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan, dan kemakmuran untuk semua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
