TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MENYAMBUT ULANG TAHUN KE-25
PENUBUHAN PERBADANAN TABUNG
AMANAH ISLAM BRUNEI (TAIB)
PADA 
HARI SABTU
26HB. JAMADILAKHIR 1438
25HB MAC 2017
BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita sama-sama menyambut Ulang Tahun Ke-25 Penubuhan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), institusi kewangan Islam pertama di negara ini, yang Beta sendiri melancarkannya 25 tahun yang lalu, bagi tujuan supaya rakyat Beta dapat menyimpan atau menabung. 
Alhamdulillah, sepanjang 25 tahun TAIB beroperasi, Beta melihat, sambutan orang ramai dari kalangan masyarakat Islam mahupun bukan Islam adalah dibanggakan. Mereka terlibat untuk pelbagai tujuan, seperti tujuan bagi simpanan peribadi, perniagaan, simpanan jangka pendek dan jangka panjang atau apa saja tujuan dengan menggunakan sistem kewangan Islam. 
Semakin meningkat usia TAIB, semakin kita ingin melihat bagaimana pencapaiannya. Jika pencapaiannya cemerlang, maka itu adalah satu bukti bahawa Brunei juga mampu, sebagaimana orang lain mampu untuk mengendalikan sistem kewangan Islam, dan sekali gus membuktikan juga bahawa sistem ini adalah benar-benar hebat dan tepat untuk dilaksanakan. 
Belajar dari kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia hari ini, maka tabi’at suka menabung dan berjimat adalah langkah yang tepat untuk diambil. Ia elok dimulai dari awal-awal lagi, daripada masa kanak-kanak sampai ke dewasa. 
Para ibu bapa dan penjaga boleh saja melatih atau menggalakkan anak-anak mereka supaya mengamalkan budaya menabung dan berjimat itu. 
Janganlah para ibu bapa sampai tidak berbuat apa-apa, sehingga boleh mengundang kepada penyesalan di kemudian kelak.
Menabung dari masa kecil sehingga dewasa, akan menolong seseorang untuk memperkukuh kewangannya dan kewangan keluarga, bahkan impaknya juga akan turut meningkatkan ekonomi negara. 
Beta suka mengimbas tujuan asal penubuhan  TAIB ialah untuk menjadi institusi pemangkin kepada sikap menabung, yang bermula dari anak-anak sekolah lagi, sehingga mereka itu berumahtangga. Dalam makna, bukanlah bagi tujuan untuk menunaikan fardhu haji semata-mata, malah lebih daripada itu, sebagai langah menjana ekonomi keluarga dan negara. 
Bagi tujuan menjana ekonomi, TAIB tentu saja perlu bergerak melalui landasan biasa, seperti terlibat dalam pelaburan dan memiliki produk-produk yang ditawarkan serta lain-lain seumpamanya. Maka sehubungan ini, TAIB selaku institusi kewangan Islam, tidak boleh tidak, mesti memastikan yang dirinya tetap berjalan di atas lunas-lunas hukum syarak. 
Ini adalah amanah untuk menjadikan simpanan para penabung, bukan saja tumbuh dalam bentuk wang ringgit, tetapi juga lebih penting, berhias dengan berkat. Keberkatan adalah segala-galanya bagi kita orang Islam. 
Ini bukan bererti untuk menyekat pergerakan TAIB. Apabila bercakap mengenai berkat, ia bukanlah ‘sekatan’ tetapi adalah dorongan kepada pertumbuhan. Kerana pendapatan yang berkat, itulah sebenar-benarnya pertumbuhan. 
Pada hemat Beta, dengan bercakap mengenai berkat, TAIB dan anak-anak syarikatnya tidaklah ada halangan untuk mengorak langkah menjadikannya sebuah institusi kewangan yang moden dan bertaraf antarabangsa. 
Apa yang penting ialah sikap gigih dan yakin kita, dalam melaksanakan sesuatu kerja menurut dasar yang kita pegang. Jika ini ada, Insya-Allah, kecemerlangan pasti berpihak kepada kita. 
Sehingga hari ini, institusi kewangan Islam sudah tumbuh sampai ke Eropah. Ini menjadi bukti, bahawa sistem kewangan yang patuh syarak telah pun diterima oleh dunia. Dunia sekarang sedang mendapati, bahawa di dalam sistem ini ada ‘kelebihan’ yang tersendiri. 
Jika kita orang Islam, kenalah faham semua ini. Jika demikian itu keadaannya, maka kita sepatutnya lebih kuat lagi menyokong dan mendukung TAIB, sama-sama berganding bahu mempertahan dan membantu pertumbuhannya. 
Jangan biarkan ia terjejas atau mengalami masalah. Tadbir dan uruslah ia dengan telus dan bijaksana. 
Beta percaya, semua kakitangan TAIB adalah mereka yang telah matang belaka, yang mampu untuk berkhidmat dengan gigih dan tabah demi kepentingan TAIB dan bangsa. 
Tahniah Beta kepada semua warga TAIB, dengan ucapan: Selamat Maju Jaya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.