TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA SAMBUTAN HARI POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-96 TAHUN 2017
Syukur Alhamdulillah, Pasukan Polis Diraja Brunei kini, telah genap 96 tahun usia penubuhannya. Ini memberi makna Pasukan Polis Diraja Brunei telah cukup matang untuk menghadapi apa saja cabaran.
Memang Pasukan Polis Diraja Brunei sarat dengan cabaran, terutama dari gelombang globlisasi dan dunia tanpa sempadan.
Kerana itu, Pasukan Polis Diraja Brunei perlu meningkatkan daya usaha dalam menguatkuasakan undang-undang. Peranannya sangat besar untuk kestabilan, keamanan dan keselamatan negara.
Maka untuk itu, Pasukan Polis Diraja Brunei, perlu mengemaskan organisasinya, di samping aktif melakukan perubahan-perubahan yang diperlukan. Perubahan-perubahan tersebut termasuk kearah memperkaya minda dan memantapkan etika, selaku pihak penguatkuasa undang-undang.
Di sini, kita juga jangan lupa untuk meningkatkan perkhidmatan berdisiplin, berintegreti, telus dan berkualiti, sesuai dengan cabaran-cabaran yang sering dihadapi.
Soal integreti dan etika ini memang sangat diperlukan, kerana ia berhubung rapat dengan kerja-kerja kepolisan dan juga menjadi pra-syarat dalam perkhidmatan. Ianya penting, sebagai jaminan untuk menentukan perkhidmatan oleh pasukan kepada stakeholders atau masyarakat adalah cemerlang.
Sudah sampai masanya, dasar Etika Polis atau Police Ethics diresapkan dalam pentadbiran Pasukan. Dengan adanya ini, Beta percaya, akan dapat mengelakkan perkhidmatan lemah, tidak amanah, kurang dipercayai dan mana-mana juga elemen negatif yang dapat memudaratkan organisasi Pasukan.
Pasukan perlu mempunyai etika kerjanya yang jelas, untuk membolehkan perlaksanaan tugas secara kerja keras, cerdas, ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari pekerjaan yang dilakukan. Seseorang yang memiliki etika kerja yang sihat, mampu untuk bekerjasama secara sihat pula, tanpa membeza-beza status sosial dan bangsa, serta pandai menghormati orang lain.
Jika ini dikuatkan, Pasukan pasti akan bertambah kuat dan akan lebih-lebih lagi mendapat kepercayaan daripada masyarakat. Apabila wujud kepercayaan dipihak masyarakat, bererti kerjasama diantara pihak Pasukan dan orang ramai, akan lebih mudah terjalin. Ini juga dengan sendirinya menjadi pemangkin kepada perpaduan dan keharmonian yang sebenar-benarnya.
Untuk membantu menjayakan kerja-kerja kepolisan, maka komitmen orang ramai memang diperlukan. Namun ini, bukan bermakna pihak Pasukan hanya tahu menunggu atau terlalu bergantung kepada orang ramai. Ini kalau berlaku, sudah tentu akan menjadikan Pasukan lemah.
Kita tidak mahu Pasukan lemah. Jika Pasukan lemah, pintu jenayah akan sukar untuk ditutup, dan jika pintu jenayah tidak dapat ditutup, maka jenayahpun mudah berkembang, sementara negara, tidak akan mampu membenterasnya kerana mekanisme keselamatan adalah lemah.
Kuasai teknik dan cara bertindak, terutama cara mencegah dan menyiasat, bukan hanya setakat merekod berapa banyak kes jenayah, tetapi kurang berhasil menyelesaikannya.
Secara semula jadi, jenayah adalah merupakan satu fenomena yang kompleks. Ia mesti dibenteras. Tidak ada kompromi baginya.
Jenayah bukan saja menjadi ancaman kepada individu, malah juga kepada negara keseluruhannya. Kerana itu Pasukan Polis Diraja Brunei perlu mempertingkatkan kapasiti dan kapabilitinya, setanding dengan pasukan-pasukan yang cemerlang di dunia.
Akhir kata, Beta ingin mengingatkan, supaya Pasukan Polis Diraja Brunei tidak hanya tahan-tahan ditahap yang ada, tetapi mesti berubah dan mencari jalan kearah yang lebih baik lagi. Tingkatkan integreti dan kewibawaan dalam perkhidmatan, supaya mampu untuk menangani pelbagai isu dan cabaran.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
