TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERSEMPENA
SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1439H / 2017M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Sambutan Maulid Ar-Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah salah satu perayaan yang tidak akan dilupakan untuk diperingati di negara ini. Kerana itu Beta sampai mengingatkan, supaya sebarang usaha untuk mempertikai atau memperkecilkan perayaan ini, eloklah ia dari awal-awal lagi ditangani dengan akta, bukan setakat dengan nasihat atau dakwah sahaja.
Tidaklah perlu untuk mengumpul sehingga banyak bukti mengenai orang-orang yang menolak tahlil, menolak talqin, menolak perayaan Maulid Ar-Rasul, menolak mengaminkan do’a imam dan lain-lain. Yang penting ialah, perkara ini memang sudah berlaku. Kalau di tempat kita ini, ia mungkin hanya kadang-kadang berlaku, tetapi di setengah tempat lain, perkara ini sudah pun jadi tengkarah yang lumrah.
Jadi, menggubal akta mengenainya memanglah sesuai, sekurang-kurangnya sebagai persiapan kita untuk menghadapinya.
Tema sambutan kita pada tahun ini berbunyi:
“Rasulullah: Qudwah Kepimpinan Yang Adil”. Memang tidak diragukan lagi, bahawa Rasulullah
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah contoh ikutan yang paling unggul melaksanakan keadilan.
Baginda tidak pernah melakukan sebarang kezaliman, sehingga pernah bersabda, maksudnya:
“Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan potong jua tangannya”.
Inilah gambaran keadilan Rasulullah. Dalam sejarah, tiada siapa pun yang pernah dizalimi oleh Baginda. Semua orang menikmati keadilan daripada Baginda, walaupun golongan musyrik yang memusuhi Baginda.
Inilah maknanya usaha Baginda mengembangkan Islam sangat berjaya, kerana melalui keadilan itu, hati manusia mudah terpikat kepada Islam yang dibawa oleh Baginda.
Inilah rahsia keadilan apabila ia dilaksanakan. Allah tidak akan menghampakan sesiapa jua yang bekerja untuk keadilan.
Dalam zaman yang penuh bergolak ini, kita biasa mendapati keadilan itu dicemari oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Setengah mereka terlalu kejam, merampas kebahagiaan orang lain dengan kezaliman.
Perbuatan ini amatlah terkutuk, hanya menunggu sa’at sahaja lagi untuk dibalas oleh Allah.
Di Negara Brunei Darussalam, kita tidak membenarkan kezaliman berlaku. Kita pantangkan ia berlaku. Sesungguhnya di bumi bertuah ini, kezaliman tidak ada tempat untuknya. Ia adalah musuh kita. Kita tidak mampu untuk berkompromi dengannya.
Kezaliman biasanya dilakukan oleh pihak-pihak yang kuat atau berkuasa, termasuklah dalam dunia pekerjaan atau perkhidmatan. Kerana itu, Beta berkewajipan untuk mengingatkan, supaya sesiapa jua yang dititipkan dengan jawatan atau kuasa, tidak akan menggunakan jawatan atau kuasa itu untuk menzalimi orang lain.
Kezaliman yang paling dahsyat ialah ‘fitnah’: fitnah ke atas orang-orang yang tidak berdosa. Seyugia diingat, fitnah mestilah dijauhi oleh sesiapa saja yang ingin selamat.
Beta mahu, Brunei kita, mestilah bersih dari sebarang gejala fitnah dan kezaliman. Inilah saja modal kita untuk selamat. Allah Subhanahu Wata’ala pasti memberkati negara dan kerajaan yang adil.
Bersempena dengan memperingati Maulid Ar-Rasul
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini, maka marilah kita sama-sama memasang azam untuk benar-benar menghayati tema sambutan, tentang keadilan Rasulullahi
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Biarlah tema ini tidak hanya untuk dibaca atau disebut sahaja, tetapi yang penting, menjadikannya sumber ilham bagi kita untuk mencontohi Rasulullahi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam perkara mengamal dan menjalankan keadilan itu.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
