TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

MENTERI PERTAHANAN
PEMERINTAH TERTINGGI
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE-17
SEKOLAH PEGAWAI KADET
AKADEMI PERTAHANAN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PADA HARI KHAMIS
12 JAMADILAWAL 1440 /
17 JANUARI 2019

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur Alhamdulillah, dengan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala jua, dapatlah kita menghadiri Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-17, Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada pagi ini.

Terlebih dahulu Beta ingin mengucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada Pegawai-Pegawai Kadet di atas persembahan perbarisan mereka sebentar tadi.

Beta merasa amat gembira di atas kejayaan 57 Pegawai Kadet dari Pengambilan Ke-17, selepas mereka mengharungi latihan selama 52 minggu.

Beta difahamkan Pegawai Kadet Pengambilan Ke-17 ini adalah termasuk seorang pemegang Biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, seorang pemegang Biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Alhamdulillah, buat julung-julung kalinya termasuk juga seorang pemegang Sijil Hafazan 30 Juzuk keluaran Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Selain itu, Beta juga mengambil maklum bahawa 2 orang Pegawai Kadet dari Pengambilan Ke-17 telah menamatkan latihan Basic Military selama tiga bulan, yang pada ketika ini telah menjawat jawatan sebagai Pegawai Pergigian di Pusat Pergigian, Khidmat Bantuan Kombat Tentera Darat Diraja Brunei dan Pegawai Perundangan Tentera di Unit Perundangan Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang berkenaan itu, termasuk juga kepada para ibu-bapa serta ahli keluarga Pegawai-Pegawai Kadet yang sentiasa mendorong dan menyokong dengan do’a untuk kejayaan anak-anak mereka.

Tidak diragukan lagi, sejak 10 tahun penubuhannya, Sekolah Pegawai Kadet, telah membuktikan keupayaannya meningkatkan kapasiti sumber tenaga manusia di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, selaras dengan salah satu aspirasi Wawasan Brunei Darussalam 2035.

Beta berbangga, kerana Sekolah Pegawai Kadet mampu untuk melahirkan pemimpin tentera yang berkaliber melalui pendedahan modul serta kemahiran asas yang sentiasa relevan mengikut peredaran masa. Pencapaian juga terus dipertingkatkan melalui kursus mandatori dan professional yang teratur.

Dalam meniti arus perkembangan teknologi, peralatan canggih sahaja tidaklah mencukupi untuk mempertahankan keselamatan negara, malahan juga, negara memerlukan daya intelektual yang tinggi serta pemikiran bernas dan luas bagi menghadapi persekitaran geostrategik yang dinamik dan kompleks. Semua ini mencabar institusi pertahanan khasnya dan negara amnya untuk melahirkan dan membentuk barisan kepimpinan yang berwibawa.

Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pula turut memainkan peranannya dalam menyumbang ke arah Diplomasi Pertahanan yang benar-benar mantap. Ini dapat dilihat dengan kehadiran peserta-peserta kursus antarabangsa yang mengikuti Kursus Maktab Turus dan Kursus Pegawai Staf Rendah serta latihan dua hala Sekolah Pegawai Kadet Bersama Officer Cadet School, SAFTI Military Institute dan Officer Cadet School, New Zealand Defence Force yang berjaya dimanfaatkan sepenuhnya.

Beta juga gembira, Diplomasi Pertahanan ini turut diperluaskan lagi dengan lawatan daripada Royal Thai Military Academy serta jalinan program interaksi latihan dan pelajaran tentera, bersama Taruna dan Taruni dari Akademi Militer – Angkatan Darat, Tentera Nasional Indonesia. Adalah diharapkan, hubungan antara angkatan-angkatan sahabat di rantau ini, akan menjadi lebih erat lagi dengan adanya interaksi dari peringkat atasan membawa ke peringkat bawahan. Program-Program dua-hala sedemikian ini mampu, untuk meningkatkan lagi piawaian Sekolah Pegawai Kadet dalam membuat proses penilaian, terutama sekali bagi mengimplementasi Best Practices.

Perkongsian pendidikan, pengetahuan dan pengalaman memang penting, kerana ia adalah merupakan satu pelaburan dalam membina modal insan yang mapan dan efektif. Perkongsian modul yang diperkenalkan oleh pihak angkatan sahabat turut dihargai sebagai nilai tambah kepada doktrin-doktrin atau Tactics, Techniques and Procedures (TTPs) yang sedia ada.

Tidak dinafikan, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah satu dari simbol kemajuan dan perkembangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Dalam usianya menjangkau 10 tahun, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Beta yakin, akan dapat terus mengorak langkah ke arah sebuah institusi pendidikan tentera yang lebih berprestij dan diiktiraf sebagai sebuah pusat kecemerlangan serantau dan antarabangsa.

Akhir kata, Beta mengambil kesempatan sekali lagi untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada 57 orang pegawai kadet yang akan menerima tauliah mereka. Beta berharap kesemua mereka ini akan menjadi barisan pemimpin muda Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang berkesan, berhemat dan professional di dalam menanai amanah besar selaku pemimpin di dalam institusi pertahanan dan keselamatan negara.

Dengan bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan berkat kalimah Bismillahir Rahmaanir Rahim, Beta dengan sukacita mengurniakan tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada 57 Pegawai Kadet Pengambilan Ke-17.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.