TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGGAMBILAN KE ENAM BELAS
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
PADA HARI KHAMIS
08HB ZULHIJJAH 1438
31HB OGOS 2017
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadir bagi menyaksikan Upacara
Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-16 Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada hari ini. Pertunjukan perbarisan yang penuh semangat telah mencerminkan betapa tebalnya sifat keperwiraan serta betapa kuatnya disiplin bagi setiap pegawai kadet yang diraikan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, khasnya kepada 32 orang Pegawai Kadet yang telah berjaya mengharungi latihan intensif selama 52 minggu. Mereka ini Beta yakin, telah berjaya menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Kejayaan itu pula sudah tentu turut bersebab dari adanya sokongan padu para ibu bapa.
Upacara
Sovereign’s Parade pada kali ini adalah lebih bermakna, kerana ianya berlangsung dalam suasana menjelang Hari Raya ‘Idil Adha, yang dikenali juga sebagai Hari Raya Korban. Ini memperkukuh lagi konsep dan objektif Sekolah Pegawai Kadet untuk melahirkan pegawai-pegawai yang benar-benar memahami dan mendalami erti pengorbanan. Pengorbanan yang dimaksudkan tidak lain ialah untuk ugama, bangsa dan negara tercinta.
Beta sukacita mengingatkan, bahawa semua pengorbanan tidak ada titik akhirnya. Ia berlaku selama hayat dikandung badan. Semangat rela berkorban, sama sekali tidak boleh padam. Kerana jika padam, maka lemahnya ‘daya tahan’ bangsa. Bayangkan, kalau ‘daya tahan’ ini lemah, maka apakah yang dapat dibuat lagi untuk memperkasa bangsa dan negara?
Kerana itu, sebagai langkah ke arah memperkasa ‘daya tahan’ tersebut, maka pembangunan strategik yang lebih teratur perlulah ditangani, serta juga latihan-latihan Pegawai Kadet hendaklah dipertingkatkan lagi.
Sehubungan ini, Beta telah pun memperkenankan satu perubahan dasar baru bagi pengendalian latihan dan pengambilan Pegawai-Pegawai Kadet, dari dua sesi pengendalian kepada satu sesi pengendalian pada setiap tahun.
Ini akan lebih memberi fokus dalam usaha kita untuk meningkatkan lagi keberkesanan latihan.
Demikian juga, objektif dasar baru ini adalah dihasratkan untuk menambahkan lagi mutu latihan dan pendidikan, seperti yang dirancang.
Apapun rancangan atau langkah yang diambil, semuanya bertujuan untuk meningkatkan kualiti, khasnya bagi piawaian latihan dan modul-modul pelajaran.
Ini turut menyangkut penerokaan peluang-peluang kerjasama dengan institusi-institusi latihan, sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Dalam makna, semua ini boleh saja dilakukan, baik secara dalaman mahupun melalui penglibatan pusat-pusat latihan negara-negara lain, sebagai usaha menambah nilai yang diperlukan.
Akhir kata, Beta sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Khasnya, Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah Sekolah Pegawai Kadet, Pegawai-Pegawai dan
Colour Sergeants serta semua jurulatih yang telah berusaha gigih dalam melatih dan mendidik Pegawai-Pegawai Kadet sehingga ke peringkat ini.
Maka, dengan merafa’akan syukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wata’ala serta mengambil berkat kalimat
Bismillahir Rahman Rahim, Beta dengan sukacita mengurniakan tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada 32 orang Pegawai Kadet Pengambilan Ke-16.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
