TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1446H/2025M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
‘Idil Adha adalah merujuk kepada peristiwa berkorban Nabi Ibrahim dan putera Baginda Nabi Ismail ‘Alaihumassalam. Dua beranak ini telah menunjukkan contoh, bagaimana cara untuk mematuhi perintah Allah, sekalipun perintah itu amat berat untuk dibuat.
Inilah juga yang kita umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dituntut untuk melakukannya, iaitu apa yang disuruh oleh Allah (oleh ugama) hendaklah dibuat dan yang dilarang hendaklah ditinggalkan.
Perkara ini telah diperingatkan oleh Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 206, tafsirnya:
”Apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah engkau kepada Allah”, maka timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) api neraka jahannam, dan demi sesungguhnya (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.”
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Oleh ugama, kita telah dituntut untuk mengamalkan sikap nasihat menasihati. Oleh itu, dikalangan umat, mestilah ada golongan yang menyuruh kepada kebajikan dan melarang dari kejahatan. Dalam makna, mana-mana orang atau pihak yang berkuasa melakukannya, hendaklah dia melakukannya, jika tidak, dia akan dianggap berdosa, kerana berdiam diri tidak menolong Ugama Allah.
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah (menolong ugama-Nya), nescaya Dia akan menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu”
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Oleh itu, Beta berseru kepada para Da’ie atau Muballigh dan orang-orang yang dipikulkan amanah untuk memelihara ugama, supaya mereka menyampaikan nasihat-nasihat ugama, dengan jujur dan ikhlas tanpa ragu-ragu atau takut-takut.
Dalam zaman yang serba kacau ini, nasihat-nasihat ugama adalah sangat-sangat diperlukan, asal sahaja nasihat-nasihat itu menepati kehendak-kehendak syarak aliran Ahli Sunnah Waljama’ah dan pendekatan yang digunakan pula tidak berunsur mencerca atau menghasut.
Di sa’at yang bersukut baik ini, Beta ingin mengambil kesempatan mendo’akan para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci, semoga mereka berada dalam sihat-sihat sahaja dapat menunaikan ibadat dengan sempurna.
Alhamdulillah dalam menyambut Hari Raya ‘Idil Adha yang mulia ini, dengan penuh rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu WaTa’ala dan penghargaan yang mendalam, Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat jelata yang Beta kasihi, serta Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan dan juga para Dif-Dif Kerabat. Segala do’a dan ingatan baik yang diberikan semasa Beta berehat, setelah menghadiri Mesyuarat ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur, Malaysia, adalah amat-amat Beta hargai. Ucapan terima kasih yang sama juga Beta tujukan kepada pihak Institut Jantung Negara Malaysia atas layanan yang amat baik sepanjang keberadaan Beta di sana.
Akhirnya, Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada, dengan harapan semoga sekaliannya dalam keadaan bahagia menyambut ‘Idil Adha.
