TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
TAHUN 1446H / 2025M

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
 
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, kita semua dapat menikmati dan meraikan Hari Raya ‘Idil Fitri di bulan Syawal yang mulia ini.

Hari Raya ‘Idil Fitri adalah merupakan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah berjaya melakukan puasa Ramadhan sebulan penuh.

Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam dalam perkara mengetengahkan keunikannya, terus mengekalkan perpaduan di antara penduduknya.

Malah dengan perpaduan itu menjadi pemangkin kepada ketamadunan bangsa.

Oleh itu, bulan Syawal menjadi peluang terbaik untuk kita mengeratkan lagi perpaduan yang sedia ada melalui hubungan silaturahim semua kita.

Sesungguhnya, pengukuhan silaturahim adalah tunjang utama kepada pembangunan sesebuah negara. Ianya juga adalah paksi kepada pembentukan jati diri bangsa.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Kemenangan yang kita raih pada hari ini, bukanlah untuk satu golongan yang bernasib baik sahaja, tetapi kita juga dituntut untuk lebih prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Oleh itu, kita tidak boleh menutup mata terhadap saudara-saudara seugama kita diseluruh dunia yang sedang bergelut dengan konflik dan penindasan. Sekurang-kurangnya, kalau pun bukan dengan bantuan mata benda, tetapi dengan bantuan ‘do’a’ pun adalah tetap menjadi kewajipan juga.​​

Dalam kemeriahan ‘Idil Fitri ini, kita sewajarnya mengelakkan pembaziran dan sebaliknya banyak bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan. Inilah antara hikmah Ramadhan dan Syawal untuk mengajar kita bagaimana menerapkan keprihatinan dan kesyukuran.

Maka atas asas ini juga, hukum Zakat Fitrah dan Zakat Harta adalah mengajar kita bagaimana berkongsi rezeki di antara sesama kita dengan tidak mengabaikan golongan asnaf yang berhak menerima zakat.

Amalan mulia berkongsi rezeki melalui penunaian zakat, adalah merupakan syi’ar dan tanda kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala atas nikmat-Nya yang tidak putus-putus kepada kita.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
 
Beta ingin mengambil peluang di sini untuk menyeru seluruh warga Islam di negara ini untuk terus tekun melaksanakan amalan ibadat pada bulan-bulan seterusnya sebagai kesinambungan kepada bulan Ramadhan.

Termasuk juga ibadat ialah pekerjaan dan tugasan kita seharian. Ini juga jangan diabaikan. Kerana mengabaikannya bererti mengabaikan ibadat.

Sesungguhnya, melaksanakan tugasan dan pekerjaan yang diamanahkan, juga mampu untuk membuka pintu rahmat mengundang rezeki yang halal dan berkat untuk kita dan negara.

Akhirnya, Beta dan seluruh ahli Kerabat Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana sahaja mereka berada, semoga kita semua sama-sama berada dalam keadaan sejahtera, sihat wal ‘afiat dan selamat di bawah naungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***